BN sudah kenal pasti calon
Barisan Nasional (BN) Perak telah mengenalpasti beberapa nama calon yang akan mewakili parti itu dalam pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang, 7 April depan.
Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir berkata, nama tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam masa terdekat.
"Kita sedang melihat latar belakang calon secara lebih mendalam sebelum dihantar kepada perdana menteri untuk dipilih.
"Oleh kerana Bukit Gantang kerusi Umno, tentulah calonnya dari Umno," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh perdana menteri di pusat dagangan dunia putra (PWTC) di ibu negara hari ini.
Kerusi parlimen Bukit Gantang kosong ekoran kematian penyandangnya dari PAS, Roslan Shaharum awal bulan ini.
Suruhanjaya pilihanraya (SPR) menetapkan 29 Mac sebagai hari penaman calon dan 7 April hari mengundi.
Dr Zambry berkata, calon yang dipilih itu boleh memberi kemenangan kepada BN di Bukit Gantang.
Sementara itu ketika ditanya mengenai tindakan speaker Dewan Undangan Negeri Perak (DUN) Perak, Sivakumar yang menghantar notis kepada Sultan Perak untuk mengadakan sidang DUN, menteri besar Perak itu berkata: "Dia perlu faham kuasa-kuasanya."
Ditanya bila hendak menduduki kediaman rasmi menteri besar, Dr Zambry berkata, perkara itu bukan menjadi keutamaannya.
"Perkara itu kecil sahaja tetapi telah menjadi besar," katanya lagi.

