Seorang pegawai kanan Kementerian Penerangan membuat laporan polis berhubung dakwaan di Parlimen bahawa beliau ditangkap khalwat dengan personaliti televisyen.

Laporan pegawai itu, yang tidak dinamakan, dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada pukul 3.30 petang, lapor Bernama .

Rabu lalu, isu khalwat itu timbul di Dewan Rakyat apabila Jeff Ooi Chuan Aun (DAP-Jelutong) meminta Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek menjelaskan khabar angin tersebut.

Pegawai atasan kementerian itu, yang ditemui pemberita di perkarangan balai polis itu selepas membuat aduan, berkata tindakannya itu bagi membolehkan polis menyiasat pihak bertanggungjawab yang menyebarkan khabar angin.

"Saya buat laporan sebab saya difitnah. Saya minta agar polis dapat siasat kes ini secepat mungkin. Cukuplah saya dimalukan," pegawai itu dipetik berkata.

Tambahnya, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan terhadap pihak yang telah mencemarkan namanya.

"Saya akan ambil tindakan mengikut kepada hasil siasatan polis yang

diterima," katanya lagi.