18 yang ditunggu...
Polis akan memulakan siasatan terhadap tindakan akhbar internet malaysiakini yang sengaja mengada-adakan berita pendakwaan kes rasuah terhadap menteri sebagai bahan jenaka April Fool, jika ada pihak membuat laporan.
"Saya difahamkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail akan menghubungi polis. Jadi saya menunggu beliau menghubungi kita." ( Berita Minggu, 3 April 2005, Kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Musa Hassan.)
Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Norizan Sharif, berkata, beliau akan membuat laporan polis berhubung perkara itu di ibu negara hari ini. Beliau juga mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap malaysiakini , termasuk melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menyebarkan berita palsu yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan dan negara. Katanya, jika kerajaan gagal bertindak tegas, MBM bimbang laporan palsu seperti itu terus disiarkan pada masa akan datang dan mengancam negara. ( Berita Minggu, 3 April 2005)
"Saya tidak suka... kehakiman bukan perkara jenaka, saya memandang serius hal ini," kata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, pada hari Sabtu. ( Berita Harian, 2 April 2005)
"Tan Sri Abdul Gani Patail is outraged over the prank, which was executed by online news website malaysiakini this morning.
"It is a joke in bad taste. The prosecution of any case is not a joking matter. Prosecution is a very serious matter; more so corruption. It shouldn't be treated as a joke," he said.
"It's like saying someone has died, and then saying 'It's a joke'. Does the public benefit from this in any way at all?
"I'm going to look into this. From my department's point of view, I take it (the prank) seriously," the A-G said, adding that he would check the matter with the authorities before considering whether any action would be taken against the news provider.
Gani added that he would probably "have a word with the editors" about responsible journalism.
The prank involved two online articles; the first a false news report which came out at 10.18am, and the second an April Fool's admission released three minutes later.
The first article, headlined "Three ministers, one MB to face graft charges", claimed that four top politicians were going to be charged with corruption.
According to the article, Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi had given the A-G's Chambers the green-light to charge the four, who were part of 18 prominent figures said to have been under investigation for graft
. ( NST, 2 April 2005).Polis akan memulakan siasatan terhadap tindakan akhbar internet malaysiakini yang sengaja mengada-adakan berita pendakwaan kes rasuah terhadap menteri sebagai bahan jenaka April Fool, jika ada pihak membuat laporan.
"Saya difahamkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail akan menghubungi polis. Jadi saya menunggu beliau menghubungi kita." ( Berita Minggu, 3 April 2005, Kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Musa Hassan.)
Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Norizan Sharif, berkata, beliau akan membuat laporan polis berhubung perkara itu di ibu negara hari ini. Beliau juga mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap malaysiakini , termasuk melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menyebarkan berita palsu yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan dan negara. Katanya, jika kerajaan gagal bertindak tegas, MBM bimbang laporan palsu seperti itu terus disiarkan pada masa akan datang dan mengancam negara. ( Berita Minggu, 3 April 2005)
"Saya tidak suka... kehakiman bukan perkara jenaka, saya memandang serius hal ini," kata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, pada hari Sabtu. ( Berita Harian, 2 April 2005)
"Tan Sri Abdul Gani Patail is outraged over the prank, which was executed by online news website malaysiakini this morning.
"It is a joke in bad taste. The prosecution of any case is not a joking matter. Prosecution is a very serious matter; more so corruption. It shouldn't be treated as a joke," he said.
"It's like saying someone has died, and then saying 'It's a joke'. Does the public benefit from this in any way at all?
"I'm going to look into this. From my department's point of view, I take it (the prank) seriously," the A-G said, adding that he would check the matter with the authorities before considering whether any action would be taken against the news provider.
Gani added that he would probably "have a word with the editors" about responsible journalism.
The prank involved two online articles; the first a false news report which came out at 10.18am, and the second an April Fool's admission released three minutes later.
The first article, headlined "Three ministers, one MB to face graft charges", claimed that four top politicians were going to be charged with corruption.
According to the article, Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi had given the A-G's Chambers the green-light to charge the four, who were part of 18 prominent figures said to have been under investigation for graft
. ( NST, 2 April 2005).Deringan telefon
Pagi Jumaat, 1 April yang lalu, seperti biasa saya bangun lambat. Telefon saya dari awal pagi telah berdering berkali-kali. Saya tidak mempedulikannya. Kemudian saya bingkas bangun. Mungkin ini panggilan daripada kawan-kawan yang ingin menyelamatkan saya daripada bencana gempa bumi yang pasti akan mengancam dan menjejaskan kestabilan tilam saya.
Saya tersalah. Pesanan-pesanan yang tersangkut di telefon bukan tentang gempa bumi atau tsunami. Tetapi semuanya bertanyakan siapakah menteri yang dilaporkan oleh malaysiakini yang akan dihadapkan ke mahkamah kerana kes rasuah. Saya bergegas membuat beberapa panggilan untuk mendapat kesahehan berita.
Ha ha ha. Saya ketawa terbahak-bahak. Apa yang dilakukan oleh malaysiakini pada hari April Fool 2005 ini telah melintasi genre lawak bodoh RTM, genre Senario, lawak pekak Kebun Pak Awang atau suara Cina Apek Alias Congo.
April Fool yang dibuat oleh malaysiakini setaraf dengan apa yang telah dilakukan oleh Orson Welles dengan The War of The World . (Siapa yang tidak tahu siapa Orson Welles dan apa yang telah dilakukannya sila berhenti membaca apa yang saya tulis ini. Atau kalau ingin meneruskan sila 'google' namanya.)
Saya berkata demikian kerana ini bukanlah kali pertama April Fool telah cuba dilakukan di Malaysia ini. April Fool bergenre Senario ini sering dilakukan anak-anak sekolah pada tahun-tahun 60-an dan 70-an dulu. Ada yang memanggil bomba membuat laporan sekolah terbakar. Ada yang memanggil kereta sakit kerana ibu hendak bersalin. Ada yang telah memasukkan gam gajah ke dalam kunci bilik darjah.
Malah, pada tahun 1968, Utusan Malaysia telah memerah otak untuk mengeluarkan berita tentang satu botol minyak wangi yang telah terjatuh ke dalam mesin cetak ketika akhbar sedang dicetak. Berita April Fool minyak wangi ini dibuat agar pembaca akan mencium Utusan Malaysia dengan harapan ianya tidak lagi berbau busuk. Ini satu perkara yang amat mustahil hendak dilakukan semenjak 37 tahun dahulu hingga sekarang.
Asal usul April Fool
Di mana dan dari mana punca asal usul budaya April Fool masih belum ada surah yang sahih. Surah yang hampir diyakini menerangkan bahawa April Fool bermula pada tahun 1582. Tahun baru di Eropah di zaman ini bermula pada 1 April dan bukan 1 Januari. Kemudian kalender Gregorian telah mengubah tahun baru untuk bermula pada 1 Januari.
Berita perubahan ini mengambil masa yang lama untuk sampai ke pengetahuan umum. Maka, masih ada lagi warga di luar kota Paris atau London yang terus merayakan tahun baru pada 1 April. Maka mereka ini dipanggil April Fool Si Tolol Bulan April.
Saya merasa bagitu bangga kerana dapat mengasosiasikan diri saya dengan lamanweb malaysiakini , walaupun saya cuma penyumbang rencana. Kerana inilah pertama kalinya April Fool yang dilakukan di Malaysia telah menerbus untuk menjadi berita dunia. Saya yang dari kecil telah diajar dan terdidik dalam tradisi buat sesuatu yang bijak, buat lain dari yang lain turut sama menumpang semangkuk kebijaksanaan sidang pengarang malaysiakini .
Memang hebat berita April Fool tahun 2005 ini. Dan tidak kurang pula bebalnya maklum balas yang diterima dari pihak-pihak berwajib dan para peminat lawak Alias Congo. Bila saya membaca maklumbalas ini saya bertanya pada diri saya sendiri, siapa yang sebenarnya melawak dan siapa yang jadi tukang lawak. Bagi saya, respons rasmi dari pihak berwajib bukan saja dilihat sebagai lawak seram tetapi hampir jatuh ke genre lawak bodoh.
Kesemua respons yang saya baca ingin bersilat lidah, cuba berpusing-pusing dari isi dan inti berita yang dilaporkan. Memang betul tidak ada, saya ulangi, memang tidak ada menteri atau menteri besar yang akan dibawa ke mana-mana mahkamah dalam negara kita ini kerana kes rasuah.
Semua rakyat saentaro negara tahu bab ini kerana bab ini adalah sebahagian dari piagam dan perlembagaan negara. (Di sini percubaan saya untuk melawak yang pasti akan menaikkan kemarahan Majlis Peguam dan Peguam Negara, kerana saya bebal, tidak tahu menahu tentang Perlembagaan Persekutuan).
Gedebe politik
Jika rakyat telah mengetahui piagam menteri kerajaan tidak pernah rasuah kenapa rakyat tiba-tiba turut menyambut hebat berita penangkapan gedebe politik yang terbabit dalam kes rasuah. Berita perasuah ini hanyalah berita April Fool yang disiarkan oleh malaysiakini .
Berita penangkapan ini telah diyakini para pembaca kerana ianya memiliki asas yang sah dan tepat. Berita ini juga selari dengan harapan dan cita-cita orang ramai yang tahu dan telah membaca berpuluh-puluh kes-kes rasuah yang masih 'tergantung' tanpa disiasat oleh pihak berwajib.
Sila ambil perhatian tentang kes 18 orang gedebe politik yang menjadi isi berita April Fool malaysiakini itu. Punca laporan ini bukan dipungut dari Laman Reformasi atau Laman Mahazalim. Ianya datang dua tahun dahulu dari mulut Rais Yatim, ketika itu menteri undang-undang di Jabatan Perdana Menteri. Rais Yatim telah mengeluarkan maklumat ini di Kuala Klawang.
Maklumat menteri ini telah dilaporkan oleh semua media. Sila ambil perhatian berita 18 gedebe politik akan ditahan kerana rasuah ini bukan disiarkan pada 1 April 2003. Ini bermakna beritanya sahih dan bukan lawak seram April Fool dari Rais Yatim.
Saya ingin bertanya secara jujur kepada Peguam Negara dan Ketua Polis Negara, kenapa hingga ke hari ini Datuk Seri Rais Yatim tidak dipanggil untuk ditanya apakah maklumat itu satu lawak seram atau satu yang sahih. Jika Peguam Negara dan Ketua Polis Negara agak susah untuk mencari Rais Yatim, saya sedia membantu.
Rais Yatim dan saya tinggal dalam daerah Jelebu. Rumah kampung beliau tidak jauh dari rumah kampung saya. Jadi soal tidak dapat menemubual Rais Yatim ini tidak timbul lagi. Saya rasa mencari rumah Datuk Rais adalah lebih mudah daripada mencari rumah Steven Gan ketua pengarang malaysiakini .
Apa hasil siasatannya?
Saya juga tidak suka... 18 orang gedebe perasuah bukan satu perkara jenaka. Saya juga memandang serius hal ini. Peguam Negara dan Ketua Polis Negara seharusnya tidak perlu ternanti-nanti seperti saya menunggu laporan polis tentang siapakah dia yang berani cuba mencederakan Kak Pah penyanyi gedempol kesayangan saya itu. Atau siapakah dia 'mystery man' pembunuh Norita yang hingga ke hari ini masih menjadi tandatanya.
Telah berpuluh-puluh laporan polis tentang kes rasuah telah diajukan. Hampir semua balai-balai polis dalam negara ini ada menerimanya. Apakah tidak ada satu pun yang terpancut untuk sampai ke meja Peguam Negara atau Ketua Polis Negara?
Mustahil laporan-laporan ini tidak sampai. Atau laporan ini tidak dapat dibaca kerana ditulis dalam bahasa Amharic. Jika ini terjadi sekali lagi saya menawarkan khidmat secara percuma untuk menerbangkan kawan baik saya dari Adis Ababa, Ethiopia untuk menterjemahkan laporan-laporan rasuah ini.
Atau betulkah desas-desus yang telah saya dengar bahawa kes 18 orang gedebe politik yang rasuah ini hanya akan dijawab oleh Peguam Negara di satu sidang media pada satu haribulan April tahun hadapan. Saya juga difahamkan bahawa pihak polis sebenarnya telahpun menjalankan siasatan rapi semenjak 30 Febuari tahun lalu. Berita ini saya terbaca di laman www.jemputjemputpisang.com . Dalam hal ini saya memerlukan pengesahan dari pihak berwajib.
Harus kita semua sedar bahawa sesuatu lembaga daulah akan dihormati bukan kerana pegawai-pegawai atau ketua lembaga-lembaga tersebut meloncat mengambur meminta untuk dihormati. Beruk buntut merah pun tidak berperangai sedemikian.
Keluhuran undang-undang dan hormat kepada pegawai perundangan bukan sama seperti warga New York menghormati Don Carleone. Respect bukan diminta-minta. Peghormatan datang dengan hati terbuka. Perghormatan kerana ledakan gas pemedih mata atau tangkapan ISA bukan penghormatan namanya. Itu ancaman.
Untuk saya 'joke in bad taste' ialah kenyataan si Bedul yang mengakui dirinya memimpin belia agar ISA digunakan kerana laporan berita April Fool dari malaysiakini . Si Bedul yang mengakui muda ini telah mengeluarkan lawak dari hidungnya. Harus kita sama-sama sedar si Bedul ini bukan lagi belia.
Mengenai si Bedul...
Bagaimana si Bedul ini tidak segan dan malu mengakui dirinya seorang pemimpin belia, walhal umurnya telah kotai. Belia adalah Mat Rempit, Mat Spana, Mat Skema, Mat Rock yang umur mereka tidak melebihi 25 tahun. Tanyalah pada anak-anak muda ini, siapa dia si Bedul ini. Jika ada Mat Rock yang kenal dia, inilah tanda-tanda akhir zaman dan saya akan naik haji tahun hadapan.
Saya kurang faham bagaimana berita ini akan 'mengancam negara' mengikut kata si Bedul ini. Apakah berita April Fool dari malaysiakini ini keluar bersalut dengan bahan nuklear dari Korea Utara. Dan bagaimana pula malaysiakini tukang pengeluar berita boleh menjejaskan kestabilan kerajaan dan negara. Dari pengalaman saya, hanya ombak tsunami dan gempa bumi sahaja yang
berupaya untuk tidak menstabilkan negara.
Negara tidak pernah tidak stabil. Negara tidak pernah diancam. Rasuah dan penyalahgunaan kuasalah yang mengancam rakyat. Hanya otak yang tidak stabil sahaja yang berfikir bahawa berita April Fool boleh mengancam negara.
Sebenarnya pihak berkuasalah yang sering mengancam kestabilan kehidupan rakyat. Yang mati dalam lokap bukan kerana berita April Fool tetapi mati dibelasah oleh polis. Ini bukan tohmah yang saya pungut dari Berita Keadilan . Ini isi ucapan dari Ketua Pembangkang di Parlimen baru-baru ini.
Yang Berhormat ini telah mengeluarkan ucapan tentang ribuan orang tahanan mati dalam tahanan polis. Berita ini menjadi berita dunia kerana telah dipungut oleh agensi-agensi berita luar negara. Dari apa yang saya baca, tidak ada satu pun laporan ini yang mensabitkan kematian dalam lokap polis ini dengan berita April Fool malaysiakini .
Saya, sebagai seorang nasionalis bahasa Melayu, kadang-kadang saya termakan juga dengan rancangan kerajaan untuk meneruskan sistem pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah. Pada hemat saya si Bedul dari Majlis Belia Malaysia (MBM) itu wajib bermula semula belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Besar kemungkinan ianya akan dapat menstabilkan apa-apa kerak yang masih tinggal di antara dua telinganya.
" I'm going to look into this. From my department's point of view, I take it (the prank) seriously ," Ini kata-kata dari Peguam Negara yang membuktikan beliau telah belajar sains dan matemetik dalam bahasa Inggeris. Saya juga pernah cuba-cuba belajar subjek ini dalam bahasa Inggeris tetapi terlalu bebal dan tidak pernah lulus-lulus.
But the big question is why are you taking it (the prank) seriously. Why are you not taking the rasuah... oopps maaf tidak ingat perkataan rasuah dalam bahasa Inggeris... seriously. How much longer must the nation wait. The cows all came home safe in the kandang. The pigs flew to the moon. Fair dinkum, mate. Be serious. No jokes. Who are the 18 Malaauns?
HISHAMUDDIN RAIS is a filmaker-cum-social activist. He writes the 'DotMai Kembali' column in malaysiakini . A former student activist, he was detained under Internal Security Act for two years in 2001.

