Isu sekolah Cina: Dolah berdalih, Anwar pandang ke depan
Anwar Ibrahim mengaku bahawa pemimpin Melayu memerlukan keberanian untuk menyokong pendidikan Cina kerana golongan perkauman yang radikal dan ultra dalam Umno-Barisan Nasional, akan mengambil kesempatan mengutuknya.
Pada 24 Mac lalu, Anwar bersama Dr Syed Husin Ali mengetuai rombongan Parti Keadilan Rakyat mengunjungi Dong Jiao Zong (Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Persekutuan Gabungan Persatuan Guru-guru Cina Malaysia) di Kajang.
Hasil dialog antara Dong Jiao Zong dengan Parti Keadilan Rakyat, telah menghasilkan persefahaman seperti berikut:
- Memperkukuh komitmen kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan;
- Menghormati hak ibu bapa memilih sistem pendidikan untuk anak-anaknya, selaras dengan Dasar Pendidikan Negara dan Perlembagaan Persekutuan;
- Menaikkan mutu pendidikan yang kian menurun dari peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi;
- Mendemokrasikan pendidikan dengan menyediakan sekolah yang secukupnya dan selengkapnya di luar bandar, di estet dan di daerah pedalaman; dan
- Menuntut agar SJKC Damansara segera dibuka semula.
Anwar Ibrahim mengaku bahawa pemimpin Melayu memerlukan keberanian untuk menyokong pendidikan Cina kerana golongan perkauman yang radikal dan ultra dalam Umno-Barisan Nasional, akan mengambil kesempatan mengutuknya.
Pada 24 Mac lalu, Anwar bersama Dr Syed Husin Ali mengetuai rombongan Parti Keadilan Rakyat mengunjungi Dong Jiao Zong (Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Persekutuan Gabungan Persatuan Guru-guru Cina Malaysia) di Kajang.
Hasil dialog antara Dong Jiao Zong dengan Parti Keadilan Rakyat, telah menghasilkan persefahaman seperti berikut:
- Memperkukuh komitmen kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan;
- Menghormati hak ibu bapa memilih sistem pendidikan untuk anak-anaknya, selaras dengan Dasar Pendidikan Negara dan Perlembagaan Persekutuan;
- Menaikkan mutu pendidikan yang kian menurun dari peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi;
- Mendemokrasikan pendidikan dengan menyediakan sekolah yang secukupnya dan selengkapnya di luar bandar, di estet dan di daerah pedalaman; dan
- Menuntut agar SJKC Damansara segera dibuka semula.
Dolah berdalih
Tatkala berdepan dengan memorandum MCA yang mencadangkan agar sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) diperbanyakkan dalam Rancangan Malaysia Ke-9, Abdullah Ahmad Badawi nampak bersikap berdolak-dalik.
Sekejap Abdullah menolak cadangan MCA. Sekejap beliau, melalui setiausaha politiknya, menjelaskan hanya kepada akhbar berbahasa Cina, bahawa kenyataannya tersilap dilaporkan dan salahdifahamkan. Tidakkah SJKC menjejaskan perpaduan nasional, Abdullah?
Berebut-rebut pula pemimpin Umno lain yang mahu dilihat menjuarai bahasa Melayu dan dengan lantang membantah cadangan MCA itu. Mereka menolak sekolah Cina, kononnya ia mengancam perpaduan nasional, dan memberi amaran kepada masyarakat Cina agar tidak menuntut penambahan SJKC dan turut membelasah MCA.
Namun, menjelang pemilihan parti, pemimpin MCA terpaksa juga dilihat prihatin terhadap masalah kesesakan di sekolah Cina yang semakin teruk. Sejak merdeka, jumlah sekolah Cina bukan saja tidak bertambah, malahan berkurang pula, sungguhpun bilangan pelajarnya bertambah berlipat ganda.
Pada tahun 1957, terdapat 1,342 sekolah rendah Cina di Malaya, tidak termasuk Sabah dan Sarawak. Dalam tahun 1960-an, bilangan murid sekolah rendah Cina adalah dalam lingkungan 350,000 orang. Namun, pada tahun 2005, hanya terdapat 1,280 sekolah rendah Cina untuk menampung lebih 640,000 murid.
Oleh sebab terhimpit di antara bantahan Umno dan masalah sekolah Cina, maka pimpinan MCA membawa mesej yang berbeza. Kepada masyarakat Melayu, Presiden MCA berkata penambahan SJKC merupakan permintaan, bukan tuntutan mahupun desakan daripada MCA. Sedangkan kepada masyarakat Cina, Setiausaha Agung MCA menegaskan MCA tidak akan tunduk kepada tekanan luar dan tetap akan memperjuangkan kebajikan masyarakat Cina.
Untuk mengelakkan keadaan menjadi tidak terkawal dan boleh menjejaskan sokongan Cina kepada BN, Abdullah mengarahkan agar isu sekolah Cina ditangani secara tertutup, melalui MCA, di dalam BN. Nasib penambahan SJKC dirahsiakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), barangkali.
Politik baru lawan politik lama
Cakap satu hal kepada orang Melayu, cakap hal yang lain kepada orang Cina. Kedua-dua Umno dan MCA adalah parti perkauman yang tidak berupaya menyelesaikan isu sekolah Cina dan sentiasa mengadudombakan orang Melayu dengan orang Cina. Itulah cara berpolitik kampung 50 tahun dahulu, kritik Anwar.
Padahal Umno-BN tidak keberatan menggunakan pembinaan sekolah Cina sebagai umpan untuk memancing undi orang Cina sewaktu pilihanraya. Di bawah pimpinan Abdullah, Umno-BN akan terus-menerus menjadikan pembinaan sekolah Cina sebagai janji pilihanraya yang kosong melompong.
Mampukah Umno-BN menggubal dasar pendidikan yang adil kepada semua kaum? Anwar mencabar pemerintah Umno-BN agar mengemukakan dasar yang jelas dan pasti mengenai pendidikan Cina dalam tempoh tiga bulan.
Semasa dalam kerajaan dahulu, kata Anwar, beliau pernah teragak-agak melayan permintaan memperbanyak bilangan SJKC. Waktu itu, orang Melayu belum yakin dengan komitmen para pendidik Cina terhadap bahasa kebangsaan.
Namun demikian, Anwar tetap berjumpa dan berdebat dengan mereka kerana ingin mendengar apa yang mereka mahu katakan. Sedangkan Abdullah dan pimpinan Umno tidak berani menenuhi permintaan Dong Jiao Zong untuk berdialog mengenai masalah yang menimpa sekolah Cina.
Mengikut Anwar, kini para pendukung pendidikan Cina memperlihatkan sikap yang tidak memperkecil bahasa Malaysia, bahkan mengakui kepentingannya. Sekiranya kedudukan bahasa Malaysia dipelihara, wajarlah ditepati kehendak ibu bapa yang mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan bahasa ibunda dan haruslah dilayan permintaan untuk menambah SJKC.
Hak mengikuti pendidikan bahasa ibunda selari dengan lunas demokrasi, tidak bercanggah dengan Dasar Pendidikan Negara, dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, malah diiktiraf oleh perjanjian-perjanjian antarabangsa seperti Deklarasi Universal berkenaan Hak-hak Manusia tahun 1948, Deklarasi Prinsip-prinsip Toleransi, Unesco tahun 1995, dan Deklarasi Universal berkenaan Hak-hak Linguistik, Barcelona tahun 1996.
Pandang ke hadapan
Politik negara harus berkembang maju, bukan terbantut. Persengketaan akibat percakapan tentang kepelbagaian bahasa dan aliran pendidikan akan menjejaskan perpaduan dan patut dihentikan, dan isu ini seharusnya dilihat dari perspektif yang lebih luas, nasihat Anwar.
Walaupun setiap suku kaum ingin mempertahankan hak sendiri, tetapi sebuah parti politik tidak semestinya memperjuangkan hak sesuatu kumpulan etnik saja, sebaliknya harus mengambil berat tentang hak-hak dan kepentingan semua kumpulan etnik.
Masalah yang melanda siapa sahaja di Malaysia merupakan masalah rakyat Malaysia. Kita tidak harus mengecualikan diri sendiri daripada membantu rakyat kita supaya dapat didirikan sebuah negara Malaysia yang benar-benar milik seluruh rakyat Malaysia, tambah Anwar.
Selama ini, orang Melayu memandang serong terhadap perjuangan Dong Jiao Zong kerana pejuang pendidikan bahasa ibunda Cina sering dicap oleh Umno-BN sebagai esktrimis, pelampau, cauvinis Cina bahkan komunis.
Namun kini, kita bukan lagi dalam zaman perang dingin; kita berada pada zaman reformasi. Orang Melayu sudah celik mata dan tidak lagi mudah diperdaya oleh tipu helah pemimpin Umno-BN yang ramainya senyap-senyap menghantar anak-anak mereka ke luar negeri untuk menuntut di sana. Bahkan ada di kalangan mereka yang mempunyai status pemastautin tetap di sana.
Dalam era globalisasi, kepelbagaian bangsa, bahasa, budaya dan agama sebenarnya boleh menguntungkan Malaysia kerana memudahkan kita berkomunikasi dengan dunia ini yang memang berkepelbagaian.
Kini, bukan sekadar ibu bapa berbangsa Cina yang menghantar anak-anaknya ke SJKC, malah terdapat lebih 10 peratus penuntut bukan Cina di SJKC. Maka, masalah kesesakan di SJKC bukan lagi masalah orang Cina semata-mata dan menambah SJKC akan memanfaatkan anak-anak Melayu, India dan yang lain-lain juga.
Seandainya Umno-BN betul-betul mahu memupuk perpaduan nasional, langkah pertama yang harus mereka ambil adalah membubarkan parti-parti perkauman di kalangan mereka yang acapkali melaga-lagakan satu kaum dengan kaum yang lain. Bentuklah parti yang berbilang kaum.
Ang Hiok Gai adalah Timbalan Setiausaha Agung, Parti Keadilan Rakyat.

