Program nuklear: Msia ikut jejak Korea Utara, Iran
Kenaikan harga minyak yang berterusan kebelakangan ini bukan sahaja menyebabkan kenaikan harga barang di pasaran, malahan turut menyebabkan kos untuk menjana kuasa elektrik meningkat.
Ini menyebabkan kerajaan terpaksa mencari sumber tenaga alternatif yang lebih murah dan berpanjangan penggunaannya bagi menggantikan minyak. Perdana Menteri baru-baru ini telah menyarankan agar teknologi menghasilkan biofuel, iaitu sejenis teknologi untuk menghasilkan bahan bakar daripada tumbuhan yang kini hangat diperkatakan di negara-negara maju, dibangunkan di Malaysia.
Kenaikan harga minyak yang berterusan kebelakangan ini bukan sahaja menyebabkan kenaikan harga barang di pasaran, malahan turut menyebabkan kos untuk menjana kuasa elektrik meningkat.
Ini menyebabkan kerajaan terpaksa mencari sumber tenaga alternatif yang lebih murah dan berpanjangan penggunaannya bagi menggantikan minyak. Perdana Menteri baru-baru ini telah menyarankan agar teknologi menghasilkan biofuel, iaitu sejenis teknologi untuk menghasilkan bahan bakar daripada tumbuhan yang kini hangat diperkatakan di negara-negara maju, dibangunkan di Malaysia.
Walau bagaimanapun, belum sempat cadangan ini dilaksanakan, timbul pula ura-ura mengatakan kerajaan berminat untuk membangunkan teknologi nuklear bagi menggantikan peranan minyak di dalam menghasilkan tenaga.
Mencari alternatif baru bagi menggantikan penggunaan minyak sebagai bahan api adalah tindakan wajar daripada kerajaan Malaysia. Ini penting bagi memastikan negara mempunyai sumber tenaga yang mencukupi untuk kegunaan domestik dan pembangunan negara pada masa akan datang.
Bagaimanapun, memilih tenaga nuklear sebagai penyelesaian kepada masalah tenaga adalah tidak kena pada tempat dan waktunya, terutama bagi negara Malaysia yang dianggap masih mempunyai sumber bahan api yang mencukupi untuk beberapa dekad akan datang.
Cetus perlumbaan senjata
Akibat pembangunan program nuklear bukan sahaja berkisar tentang keberkesanan teknologi ini, atau bagaimana mengurus dan menggunakan sumber tenaga ini dengan selamat. Apa yang lebih utama ialah, ia boleh mencetuskan isu keselamatan yang serius seperti mengundang sekatan ekonomi antarabangsa, menimbulkan rasa curiga negara-negara jiran, mendorong kepada penciptaan dan perlumbaan senjata nuklear serta menyebabkan ketegangan dan konflik.
Program nuklear telah menjadi sesuatu " taboo " dalam politik antarabangsa. Setakat ini, hanya lima kuasa besar dunia yang menduduki kerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) dibenarkan untuk membangunkan program nuklear, sama ada untuk tujuan keamanan mahupun menghasilkan senjata nuklear.
Anggota UNSC terdiri daripada Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Rusia dan China. Sementara negara kuasa nuklear yang tidak diiktiraf oleh masyarakat dunia, tetapi kewujudan program nuklear mereka 'diredai' oleh lima kuasa besar dunia ialah Israel, India dan Pakistan.
Tidak ada negara lain, selain seperti negara yang dinyatakan di atas dibenarkan untuk membangunkan program nuklear, walaupun ia untuk tujuanan keamanan.
Untuk tujuan menghalang lebih banyak negara membangunkan program nuklear, Perjanjian Ketidakcambahan Nuklear (NPT) diperkenalkan. Setiap anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dikehendaki menandatangani perjanjian ini sebagai bukti dan komitmen untuk tidak membangunkan program nuklear.
Selain itu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) turut ditubuhkan untuk memantau dan menyiasat negara-negara yang disyaki membangunkan program nuklear.
Korea Utara dan Iran
Mana-mana negara yang engkar akan tuntutan NPT dan IAEA akan berdepan dengan sekatan ekonomi antarabangsa seperti halnya dengan Korea Utara, Iran dan Iraq.
Walaupun kewujudan program nuklear Malaysia bertujuan keamanan, namun jangan kita mudah lupa bagaimana komuniti antarabangsa 'memulau' Korea Utara dan Iran di atas usaha mereka membangunkan program nuklear yang juga disifatkan oleh mereka sebagai 'bertujuan keamanan'.
Sebenarnya, masyarakat dunia sudah lama tidak mempercayai alasan program nuklear untuk tujuan keamanan. Ini kerana, kewujudan program nuklear sering disalahgunakan untuk tujuan membina senjata nuklear, iaitu sejenis senjata pemusnah besar.
Tambahan lagi, teknologi atau teknik untuk menghasilkan tenaga elektrik daripada tenaga nuklear adalah hampir sama dengan cara untuk menghasilkan senjata nuklear. Oleh itu, apabila disebut sahaja 'program nuklear', ramai pihak yang akan mengaitkannya dengan 'program senjata nuklear'.
Pada awalnya, Korea Utara dan Iran turut menggunakan alasan program nuklear mereka adalah untuk tujuan keamanan. Namun, motif sebenar program nuklear mereka terbongkar akhirnya apabila, IAEA mendedahkan wujudnya aktiviti-aktiviti memperkasakan uranium untuk senjata nuklear.
Tujuan mereka untuk membangunkan program senjata nuklear adalah jelas kerana, senjata nuklear penting untuk mengukuhkan kepentingan strategik serta boleh digunakan untuk tujuan tawar-menawar dengan kuasa-kuasa barat.
Berdasarkan contoh tidak baik yang ditunjukkan menerusi program nuklear Korea Utara dan Iran ini, maka masyarakat antarabangsa kini sukar untuk membenarkan negara-negara lain untuk membangunkan program nuklear mereka.
Bermain dengan isu program nuklear hanya akan merugikan Malaysia sahaja. Ini kerana, Malaysia langsung tidak mempunyai kemampuan untuk menentang tekanan daripada masyarakat antarabangsa. Lagipun, Malaysia terpaksa bergantung kepada masyarakat antarabangsa untuk meneruskan 'kelangsungannya' (survival).
Pemulauan masyarakat dunia terhadap Malaysia oleh boleh menghancurkan Malaysia dalam sekelip mata. Tidak seperti Korea Utara dan Iran yang mempunyai kuasa besar seperti China dan Rusia untuk menyokong tindakan mereka.
Malaysia langsung tidak mempunyai sekutu yang betul-betul boleh diharap untuk menyokong tindakannya apatah lagi sekiranya dipulaukan oleh masyarakat dunia.
Tambahan pula Malaysia adalah anggota PBB dan telah menandatangani NPT serta terikat dengan ketetapan yang ditentukan IAEA. Sekiranya Malaysia bertegas untuk membangunkan program nuklear, bukan sahaja tidak ada negara yang akan menyokongnya malahan berkemungkinan besar akan berdepan dengan sekatan ekonomi antarabangsa.
Malaysia akan menggantikan tempat Iraq dalam kalangan 'Negara paksi kejahatan' bersama Iran, Korea Utara dan Syria, serta mungkin dilabel sebagai 'negara jahat' (rogue state) oleh negara-negara barat yang tidak membenarkan program nuklear berkembang di dunia.
Sensitiviti Asean
Selain itu, Malaysia juga akan dipulaukan daripada menyertai organisasi antarabangsa seperti PBB dan Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).
Isu program nuklear adalah isu yang sensitif terutama di kalangan anggota ASEAN. Ini kerana, dalam sepuluh negara ASEAN, tiada satu negara pun yang telah mengakui memiliki program nuklear. Jika Malaysia terlebih dahulu membangunkan program nuklear, Malaysia akan memecah rekod bersih ASEAN yang selama ini bebas daripada program nuklear.
Malaysia juga akan dikecam kerana menyalahi peraturan Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) yang antaranya, tidak membenarkan program dan bahan-bahan nuklear diwujudkan serta dibawa ke rantau ini.
Tindakan Malaysia untuk membangunkan program nuklear juga akan membuatkan negara jiran berasa 'terancam' dan 'curiga' terhadap motif sebenar Malaysia. Negara-negara jiran juga pasti sukar untuk menerima alasan Malaysia membangunkan program nuklearnya untuk tujuan keamanan, iaitu sebagai sumber tenaga alternatif untuk menggantikan bahan bakar minyak.
Ini kerana, negara maju seperti Singapura yang langsung tidak mempunyai sumber asli yang kaya seperti Malaysia pun masih boleh bertahan walaupun harga minyak dunia terus melonjak naik. Lagipun, rasa curiga negara-negara jiran terhadap Malaysia adalah berasas, berdasarkan rekod-rekod hubungan sebelum ini yang dilimpahi dengan pelbagai masalah.
Malaysia pernah disalahfahamkan oleh barat dan jiran-jirannya sebagai negara yang berjinak-jinak dalam program senjata nuklear. Ini berikutan dengan rampasan kotak kayu yang mengandungi unit pengempar uranium (uranium centrifuge) di Itali pada awal tahun 2004 yang tertulis nama SCOPE (Scomi Precision Engineering), sebuah anak syarikat milik SCOMI yang dipengerusikan oleh anak Perdana Menteri Malaysia.
Insiden itu turut membongkar nama seorang penduduk tetap Malaysia berketurunan Sri Lanka iaitu, B.S.A Tahir yang menjadi orang tengah untuk memasarkan unit pengempar uranium kepada Iran.
Tindakan Malaysia untuk membangunkan program nuklear pada masa sekarang sudah pasti akan mendalamkan lagi salah sangka negara-negara asing terhadap Malaysia.
Dilema Keselamatan
Jika Malaysia memulakan langkah pertama untuk membangunkan program nuklear, negara-negara jirannya pasti akan menuruti jejak langkah yang sama. Ini akan menyebabkan semua negara ASEAN terjebak ke dalam persaingan program nuklear dengan menggunakan alasan yang serupa untuk tujuan keamanan.
Akhirnya, anggota ASEAN akan bertukar menjadi negara berkuasa nuklear. Bagaimanapun, situasi sebegini bukanlah berita baik kerana, pasti ada negara-negara yang teruja untuk memiliki senjata nuklear.
Memiliki senjata nuklear adalah impian kebanyakan negara yang mempunyai program nuklear. Senjata nuklear adalah senjata yang boleh 'menggoda' dan 'memukau' orang untuk memilikinya. Dengan memiliki senjata nuklear, ia akan membuatkan sesebuah negara itu kelihatan eksklusif dan bermartabat tinggi.
Bukan itu sahaja, tindakan Malaysia membangunkan program nuklear juga akan meransang anggota ASEAN yang bercita-cita tinggi untuk muncul sebagai negara berkuasa nuklear.
Jangan lupa bahawa, ada di antara negara ASEAN yang mempunyai rekod buruk dalam program nuklear. Misalnya, Indonesia pada era Sukarno yang radikal, pernah mengeluarkan kenyataan hebat bahawa Indonesia akan berjaya menghasilkan senjata nuklearnya sendiri.
Begitu juga dengan Myanmar kebelakangan ini yang telah mendapatkan sebuah reaktor nuklear dari Rusia, telah menimbulkan tanda tanya di kalangan anggota ASEAN tentang motif sebenar rejim tentera Yangon itu berbuat demikian.
Telah menjadi pengetahuan umum bahawa hubungan di kalangan anggota ASEAN sebenarnya adalah rapuh dan tidak bersatu. Hubungan sesama anggota ASEAN sering diselebungi perasaan syak wasangka dan sikap mementingkan diri. Oleh itu, jika salah sebuah negara didapati mempunyai senjata nuklear, negara-negara jiran akan berasa terancam dan menghadapi 'dilema keselamatan'.
Jika ini berlaku, sebagai reaksi tindak balas mahupun pengimbangan kuasa, negara-negara jiran lain juga akan turut menghasilkan senjata nuklear masing-masing.
Kalau keadaan bertukar menjadi buruk, mungkin akan berlaku pula perlumbaan untuk menghasilkan senjata nuklear yang menyebabkan seluruh rantau Asia Tenggara dalam situasi berbahaya.
Apa yang lebih membimbangkan ialah, sikap ego kerana memiliki senjata nuklear akan memburukkan usaha-usaha ke arah penyelesaian ketegangan dan konflik secara aman. Selain itu, cara ketenteraan juga mungkin akan menjadi alternatif sekiranya segala usaha penyelesaian konflik menemui jalan buntu.
Walaupun fenomena seumpama ini tidak mungkin berlaku dalam ASEAN pada masa sekarang, namun jika ia berlaku, kehancuran yang akan dialami ASEAN sudah tentu tidak boleh digambarkan.
Pemulauan dan sekatan
Penjelasan di atas adalah antara sebab mengapa kewujudan program nuklear di Malaysia tidak sesuai pada masa sekarang. Selain itu, cadangan masyarakat antarabangsa untuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Korea Utara dan Iran juga adalah wajar.
Sekiranya negara-negara di dunia ini dibiarkan bebas membangunkan program nuklear, tentunya ia bukan setakat untuk penjanaan kuasa elektrik malah pengeluaran senjata nuklear juga akan dilakukan.
Inilah antara sebab mengapa usaha Korea Utara dan Iran untuk mengembangkan program nuklear mendapat tentangan kuat masyarakat dunia.
Pemulauan masyarakat dunia ke atas Korea Utara dan Iran adalah contoh terbaik yang patut menjadi ikhtibar kepada Malaysia. Malaysia tidak seharusnya mengulangi langkah sumbang Korea Utara dan Iran dengan membangunkan program nuklear yang bertentangan dengan pendapat masyarakat dunia.
Malaysia harus sedar bahawa, program nuklear bukan sekadar menimbulkan masalah kepada alam sekitar dan manusia, seperti tragedi kebocoran loji nuklear di Chernobyl, Ukraine. Malah ia mungkin lebih buruk daripada itu kerana, program nuklear yang tidak terkawal boleh menjadi satu trend yang mungkin berakhir dengan penciptaan senjata nuklear secara berleluasa.
Semakin banyak negara yang membangunkan program nuklear, maka semakin banyaklah senjata nuklear yang akan dihasilkan. Dengan itu, dunia yang menjadi tempat kita berteduh selama ini, akan bertukar menjadi satu tempat yang tidak selamat lagi untuk didiami.
Penulis berkelulusan sarjana dalam bidang Kajian Dasar dan Analisis Keselamatan dari universiti tempatan. Kini bergiat aktif dalam penyelidikan dan penulisan tentang isu-isu politik dan keselamatan.

