ULASAN | Kemarau pingat emas badminton Sukan Asia berpanjangan
ULASAN SUKAN | Sukan Asia edisi kali ini sekadar memanjangkan lagi cerita betapa skuad badminton Malaysia ‘Cuma’ menjadi antara pencabar utama di pentas dunia.
Tahap persembahan keseluruhan pemain utama pula memberikan gambaran bahawa kita belum benar-benar menunjukkan prospek untuk memburu pingat emas.
Justeru tidak salahlah pihak pengurusan pasukan meletakkan sasaran satu perak dan satu gangsa di Aichi-Nagoya, Jepun dalam temasya yang berlangsung sekarang.
Rata-rata persembahan kurang konsisten serta kealpaan sendiri mungkin memberi jawapan jelas akan tahap pencapaian kita yang pulang dengan satu pingat gangsa saja.
Aksi kurang memberangsangkan itu harus menerbitkan segala rasa gelisah memikirkan kemampuan pemain utama kita untuk menyusun langkah kanan mencari pingat emas yang pertama menjelang Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles nanti.
Dua tahun berikut pun bukanlah satu tempoh yang lama. Kita sebenarnya sudah kesuntukkan masa mencari pemain generasi baru. Mahu atau tidak, pemain senior masih menjadi pertaruhan terbaik atas pengalaman masing-masing.
Apa pun, terima kasih kepada Pearly Tan dan M Thinaah yang menjadi penyelamat maruah kita di Sukan Asia kali ini. Pasangan beregu wanita nombor lima dunia itu berjaya meraih kedudukan podium selepas menempah tiket ke separuh akhir.
Nasib baik kita tidak pulang dengan tangan kosong.
Tuaian gangsa itu turut mengulangi pencapaian sama dilakar Aaron Chia dan Soh Wooi Yik pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou dalam acara beregu lelaki.
Ringkasnya, dalam tempoh empat tahun lalu, prestasi kita tidak pergi jauh ke mana pun. Anehnya, kita masih diwakili barisan pemain utama yang hampir sama untuk mengilhamkan kejayaan membawa pulang tambahan pungutan pingat.
Sifat tenang, jauh daripada gopoh
Faktor ini juga dengan sendirinya menceritakan persembahan pemain badminton elit negara masih kekal statik. Bererti juga tiada kemajuan yang boleh ditakrif memberangsangkan.
Menambahkan lagi rasa perit itu, jiran kita – Thailand - pulang ceria apabila meraih pingat emas pertama sejak Sukan Asia 1966 hasil kejayaan pemain nombor satu dunia, Kunlavut Vitisarn.
Dia mengalahkan lawan dari Singapura, Loh Kean Yew dalam final pada Selasa lalu.
Gergasi dunia seperti China, Korea Selatan dan Indonesia pula masing-masing memenangi dua emas bagi melengkapkan jumlah keseluruhan tujuh emas yang ditawarkan kali ini.
Inilah apa yang disebut-sebut sebagai aksi tekal pada peringkat tertinggi benua. Nampaknya, kita masih mencari kekurangan elemen berkenaan.
Pencapaian pemain negara di Jepun tidaklah memeranjatkan. Hal itu kerana aksi masing-masing yang nampak serba kekurangan ramuan.
Majoriti mereka kurang konsisten. Gelaran dimenangi pun agak terhad.
Maka, macam mana kita mahu mengimpikan gelaran di Aichi-Nagoya tatkala pemain tersohor dunia dari negara lain sudah lebih bersedia, baik dari segi mental dan fizikal masing-masing.
Lebih ringkas, bintang dunia didapati memiliki tindakan penyudah lebih berkesan pada detik penting permainan. Ini juga ada kaitan dengan sifat tenang dan tidak mudah gopoh.
Dari sudut kita pula, aksi longgar dan mudah hilang fokus apabila berdepan asakan sekadar mendekatkan lagi kepada kesilapan. Ia juga tidak banyak membantu cabaran kita. Gelagat itu bukan mahu disengajakan oleh pemain tapi satu ‘elemen negatif’ yang masih melekat pada diri.
Kita serahkan kepincangan tersebut kepada pemain dan jurulatih untuk mencari ramuan mujarab. Mereka lebih memahami situasi serta kekurangan yang ada.
Menanti jawapan pasti
Apa pun, komitmen setiap pemain kita tidak boleh dinafikan masih kuat. Begitu juga gigih dalam latihan pusat. Apa yang tidak boleh dinafikan, setiap pemain kita adalah dedicated soldiers. Sifat ini harus dipuji.
Jadi, apa yang berlaku di Aichi-Nagoya adalah kesinambungannya saja. Tambahan, faktor kecederaan digalas beberapa pemain utama, turut menjejaskan impian emas kali ini.
Kali terakhir emas menjadi milik kontinjen negara di Sukan Asia adalah pada edisi 2006 di Doha, Qatar menerusi pasangan beregu lelaki, Koo Kein Keat dan Tan Boon Heong.
Kemudian kemarau emas pun bermula di sebalik pelbagai program mantap diusahakan oleh jawatankuasa kejurulatihan BAM.
Doha akan sekali lagi menjadi tuan rumah temasya Asia pada 2030. Harap-harap badi emas akan berakhir di Negara Teluk itu.
Apakah sebenarnya masalah kita?
Kita nampak macam kerdil di kalangan gergasi lain di Sukan Asia. Itulah hakikat yang harus diterima.
Realitinya, pemain negara belum lagi dapat berdiri sama tinggi dengan jaguh-jaguh dari negara lain seperti China, Korea Selatan, Jepun atau pun Indonesia dari segi mengilhamkan kejuaraan.
Masalah pemain kita juga mungkin lebih terarah kepada aksi bersifat ‘yo-yo’. Sekejap bagus, sekejap hambar. Kenapa?
Mungkin BAM dapat memberi jawapan?
V ASHOK ialah bekas pengarang sukan dan pengarang berita luar negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/886/asia_421856.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.