ULASAN | Yang sering dikait dengan L Krishnan ialah ketokohannya dalam dunia perfileman. Tetapi yang jarang diketahui terkait mendiang itu dalam kalangan orang awam ialah kelangsungan hidupnya selepas dia tidak mengarah filem.

Juga semangat setia kawan yang tebal di dalam dirinya.

L Krishnan, AR Tompel dan Salleh Ghani adalah pengarah perintis menghidupkan filem Malaysia di dalam hutan belantara.

Kehidupan mereka menjadi getir selepas dua tiga tahun bekerja, kontrak masing-masing ditamatkan. Mereka juga terpaksa 'turun takhta' dari kerusi pengarah.

AR Tompel bernasib baik boleh berlakon dan melawak, manakala L Krishnan terlebih dahulu meninggalkan keselesaan di Singapura untuk berkerja di Studio Merdeka pada awal 1960-an.

Dalam buku The Krishnan Odyssey (Ranjau Perjalanan Krishnan) gambar dua cimpanzi dan dua gajah pada bab Historic As A Film Maker In Malaya (Sejarah Pembikin Filem Di Malaya) adalah refleksi yang mahu diceritakan L Krishnan tentang persekitaran Studio Merdeka ketika itu dikelilingi hutan dan binatang buas.

Zoo Negara ketika itu belum lagi dibina, tetapi ngauman harimau biasa didengar. Salleh Ghani pula pernah bercerita mengenai seorang pekebun yang mati dipijak gajah berhampiran studio itu.

Mengikut sasaran asal, tiga filem akan diterbitkan pada awal penubuhan Studio Merdeka tetapi L Krishnan cuma mampu hasilkan satu saja iaitu Tun Tijah pada 1960.

"Peralatan di Studio Merdeka agak terhad. Tenaga kerja juga tidak terlatih.

"Saya perlu sunting sendiri filem-filem arahan saya. Cuma untuk filem terakhir saya, Fajar Menyingsing, barulah dapat khidmat penyunting (Raja Jamaluddin)," katanya dalam sesi temu bual.

Tun Tijah yang mendapat sokongan istana mencatatkan tiga nama produser iaitu Run Run Shaw, Ho Ah Loke dan HM Shah.

Sahut seruan menteri

L Krishnan sempat mengarah lima filem di studio itu, manakala Salleh Ghani sebanyak enam filem. Sementara itu AR Tompel sempat menghasilkan satu filem.

Dia satu-satunya pengarah yang berkhidmat di lima syarikat berbeza iaitu Malay Film Productions, Cathay Keris Filem, Shah Film Production, Rimau Film Productions dan United Film Productions.

Ketika di India dia mengarahkan filem Tamil Singhalese pada 1948. Takdirnya Studio Merdeka menutup terus kerjaya L Krishnan sebagai pengarah filem.

Cuma pada 1988 L Krishnan mengarah drama Inggeris berkonsepkan Malaysia, Jenny, untuk slot Layar Mutiara.

Melalui wawancara bersama penulis ketika itu, L Krishnan berkata, Jenny dihasilkan kerana menyahut seruan menteri penerangan ketika itu, Mohamed Rahmat, supaya produser tempatan menerbitkan karya muhibah.

"Filem adalah darah daging saya tetapi sibuk mengurus syarikat dan melakukan kerja amal menyukarkan untuk saya mengarah filem lagi.

"Konsep ada tiga bangsa dalam Jenny pernah saya buat dalam filem arahan saya, Antara Senyum Dan Tangis," katanya.

L Krishnan Legenda filem Melayu 051026

Jenny dalam durasi 150 minit itu dibintangi Zahim Al-Bakri, Julian Mokhtar, Theressa dan peguam, Tharkudas.

Di Studio Merdeka sistem kapitalis jelas - sekiranya tidak menepati prestasi usah bermimpi untuk duduk di kerusi pengarah.

Selepas tidak mengarah fokus L Krishnan terarah menjadi usahawan.

Pelbagai usaha dilakukan seperti menubuhkan kelab hiburan berimej Melayu pertama di ibu kota bersama sahabatnya, Sheikh Hassan. Ia dikenali sebagai syarikat Tenggelam Timbul, manakala pada 1968 menubuhkan Ranee TV Corporation.

Penghujung 1960-an dan awal 1970-an merupakan tempoh getir buat penggiat filem apabila dua studio gergasi di Singapura gulung tikar.

Jumpa VIP bawa usul anak seni

Biarpun sudah meninggalkan studio, L Krishnan tetap memperjuangankan nasib filem tempatan melalui Filem Produser Malaysia Bersatu (FPMB) yang ditubuhkan pada 3 Ogos 1966.

Dia merupakan timbalan presiden FPMB dan menjadi orang nombor dua kepada Ho Ah Loke selaku presiden. Jawatan setiausaha pula disandang Salleh Ghani manakala Abdullah Chik dan P Ramlee masing-masing bertindak sebagai penolong setiausaha dan bendahari.

Perjuangan FPMB memang jelas iaitu mendesak kerajaan mewujudkan sistem kuota bagi kemasukan filem asing. Untuk iklan, harus ada 90 peratus produk tempatan dan pemilik panggung tidak dibenarkan menerbitkan filem.

Selagi pemilik panggung seperti Shaw Brothers dan Cathay menerbitkan filem, selagi itulah produser baru akan mati.

Pelbagai menteri kanan ditemui mereka, daripada Abdul Razak Hussein, Tan Siew Sen, V Manikavasagam, Harun Idris hingga ke wakil rakyat Kota Setar Selatan, Dr Mahathir Mohamad.

Malangnya usul dibawa FPMB itu ditolak kerajaan. Biarpun begitu mereka tetap gigih berjuang untuk membela filem tempatan agar dilindungi kerajaan.

Apa yang dinikmati penggiat filem sekarang - seperti tertubuhnya Finas, kewujudan Skim Wajib Tayang, dan yang sangat penting, pihak panggung tidak boleh menerbitkan filem - adalah hasil apa yang diperjuangkan oleh FPMB.

L Krishnan Legenda filem Melayu 051026

Pertemuan L Krishnan dengan Harris Salleh (bekas Ketua Menteri Sabah) membuka sinar baru dengan tertubuhnya Gaya Filem Bhd (Gaya Filem) pada 1973.

Bermulalah kembara L Krishnan sebagai usahawan. Gaya Filem menjadi tempat produser filem dan album tempatan kerana adanya kemudahan Gaya Color Laboratory dan Gaya Music Studio yang menyediakan 16 trak.

Studio itu mengingatkan penulis kali pertama interviu vokalis Freedom, Seha Abu Bakar, di situ pada hujung 1980-an.

Dari sisi sebagai sahabat, L Krishnan mempunyai sifat mulia iaitu suka meraikan rakan seperjuanga, membantu mereka dalam kesusahan dan melakukan kerja-kerja amal.

Dua tiga kali penulis membuat liputan di Gaya Film apabila L Krishnan mengadakan jamuan meraikan artis veteran.

Apabila tiba hari Deepavali pula, L Krishnan menjamu kanak-kanak istimewa.

Berkeras mahu bayar kos rawatan

Bagaimapun detik yang sangat melekat di ingatan ialah ketika bapa kami sakit pada 1986. L Krishnan datang ke rumah dan mahukan bapa mendapat rawatan terbaik.

Atas inisiatif tokoh itu, bapa diperkenalkan pada sahabatnya, Dr S Ganesan, yang merupakan doktor pakar di sebuat pusat rawatan swasta di Bangsar.

Hampir sebulan bapa dirawat di situ serta menjalani sesi kemoterapi. Sudah tentu ia sangat mengharukan kami sekeluarga kerana segala kos rawatan bapa kami selama di situ dibiayai oleh L Krishnan.

Jika dilihat pada ketika itu, dunia seni sudah ada Persatuan Seniman Tanahair (Seniman) serta Finas tetapi L Krishnan sendiri yang bersungguh-mahukan bapa sihat seperti biasa.

Penulis yang menjaga bapa ketika itu sempat melihat dua tiga kali L Krishnan datang berziarah sedangkan pada ketika itu dia tentu sibuk sebagai ahli perniagaan.

Setiap kali L Krishnan masuk ke bilik bapa, Dr S Ganesan akan turut bersama untuk memberi maklumat dan perkembangan terkini bapa.

Nilai persahabatan sebegitu sangat sukar diterjemahkan dengan kata-kata kerana pertolongan itu hadir daripada sahabat yang bukan seagama dan sebangsa.

L Krishnan Legenda filem Melayu 051026

L Krishnan dilahirkan di Madras, India pada 21 Okt 1922 sebelum dibesarkan di Pulau Pinang. Dia pernah mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Nibong Tebal dan Sekolah Menengah Tinggi Bukit Mertajam.

Liku perjalanan hidupnya cukup dramatik. Dia pernah menjadi pekerja am kelab kriket di Singapura, menjadi penyambut tetamu di Hotel Raffles dan Hotel Aldephi, selain sempat berkhidmat sebagai penterjemah bahasa Jepun.

L Krishnan juga pernah berkhidmat dalam Tentera Kebangsaan India dengan pangkat sebagai leftenan.

Dia diingati kerana sentuhan magis yang berani memberi watak utama kepada P Ramlee serta melahirkan ramai pelakon ternama. Antaranya ialah Rosnani Jamil.

Pada Mac 1978 Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mengurniakan pingat Dato Seri Nilam DiRaja menjadikan dia pengarah filem Melayu pertama bergelar Datuk sekali gus menjadi kebanggaan penggiat filem tanah air.

Malang kerana ketika hayatnya tiada usaha dibuat untuk menghasilkan dokumentari khas atau biografi L Krishnan agar generasi AI kini memahami bagaimana peritnya karyawan filem dahulu menghidupkan filem Malaysia.

Dia menghembuskan nafas terakhir pada 24 Sept lalu di Chiang Mai, Thailand.


ADAM SALLEH ialah bekas wartawan dan pengarang berita di akhbar kumpulan Media Prima Bhd.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.