ULASAN | Masa untuk membina ruang mendengar lebih luas di rumah
ULASAN | Pemergian Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor baru-baru ini amat menyedihkan. Keluarganya berhak mendapat ruang untuk berduka, manakala masyarakat berhak menuntut siasatan yang telus dan tindakan yang sewajarnya.
Ketika siasatan masih berjalan, kita perlu berhati-hati agar tidak mendahului fakta atau membuat andaian tentang sesiapa yang terlibat.
Persoalan keselamatan sekolah sememangnya menuntut jawapan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Menterinya telah mengarahkan pemeriksaan menyeluruh terhadap rekod kehadiran, kawalan keselamatan dan rondaan di sekolah berkenaan.
KPM juga menyatakan bahawa sokongan kaunseling diberikan kepada murid serta warga sekolah yang terkesan. Langkah itu perlu disusuli dengan penjelasan hasil siasatan dan pembaikan apabila kelemahan dikenal pasti.
KPM sudah mempunyai Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat yang merangkumi keselamatan fizikal, kesejahteraan psikososial dan pengurusan insiden. Yang penting sekarang ialah pelaksanaannya di setiap sekolah.
Namun, perbincangan awam tidak sepatutnya berhenti pada persoalan tindakan KPM. Pendidikan dan keselamatan anak turut dibentuk oleh perkara yang berlaku setiap hari di rumah.
Ibu bapa ialah orang yang paling dekat dengan kehidupan anak di luar sekolah. Mereka mempunyai peluang untuk mendengar cerita anak, memahami perubahan emosinya, membimbing tingkah lakunya dan mendapatkan bantuan apabila timbul masalah.
Inilah tanggungjawab yang wajar mendapat perhatian lebih besar dalam perbincangan kita.
Bukan kayu ukur yang sepenuhnya
Dalam kajian pendidikan, hubungan seperti ini boleh difahami sebagai dimensi hubungan dalam modal sosial keluarga. Nilainya terletak pada kualiti kepercayaan, perhatian dan komunikasi yang membolehkan anak berkongsi pengalaman serta menerima bimbingan.
Satu kajian longitudinal di England pada 2012 bertajuk Family social support, community ‘social capital’ and adolescents’ mental health and educational outcomes: a longitudinal study in England mendapati bahawa hubungan yang baik dengan ibu bapa, pemantauan oleh ibu bapa dan melazimkan makan bersama keluarga berkait dengan hasil kesihatan mental atau pencapaian pendidikan yang lebih baik.
Walaupun kajian tersebut tidak membuktikan amalan keluarga boleh mencegah setiap masalah yang dihadapi anak, dapatannya mengingatkan kita bahawa masa dan perhatian ibu bapa mempunyai nilai pendidikan yang nyata.
Data Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (Pisa) 2025 memberi sebab tambahan untuk kita meneliti hubungan tersebut.
Menurut laporan di Malaysia, bahagian murid yang berbincang dengan ibu bapa atau penjaga sekurang kurangnya sekali seminggu – tentang masalah yang mungkin mereka hadapi di sekolah – turun daripada 46 peratus pada 2022 kepada 34 peratus pada 2025.
Ia merupakan penurunan sebanyak 12 peratusan.
Bagi soalan jika ibu bapa bertanya tentang perkara yang dilakukan anak-anak di sekolah sekurang kurangnya sekali seminggu, angkanya turun daripada 57 peratus kepada 51 peratus.
Angka itu perlu dibaca dengan cermat. Ia menunjukkan kekerapan beberapa bentuk perbualan seperti yang dilaporkan oleh murid. Ia tidak mengukur sepenuhnya mutu hubungan keluarga, apatah lagi kasih sayang ibu bapa.
Pisa juga tidak boleh digunakan untuk menerangkan kematian Irene atau menyalahkan mana-mana keluarga.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/09/051a26f69fc289398b827737b67d5a58.jpg)
Namun, apabila semakin sedikit murid melaporkan perbualan tentang masalah di sekolah, kita mempunyai alasan yang kukuh untuk bertanya bagaimana ruang mendengar di rumah dapat diperluas.
Malaysia bukan satu-satunya negara yang menunjukkan penurunan. Bagi perbincangan mingguan tentang masalah di sekolah, Singapura turun daripada 47 kepada 37 peratus, Indonesia pula daripada 48 kepada 36 peratus.
Bagi Thailand peratusannya merosot kepada 41 peratus berbanding 50 sebelumnya. Pada masa yang sama, Vietnam naik daripada 55 kepada 58 peratus dan Poland daripada 51 kepada 53 peratus.
OECD turut melaporkan bahawa sokongan keluarga menurut murid menurun di kebanyakan sistem pendidikan yang mempunyai data perbandingan. Cabaran ini melangkaui Malaysia, tetapi perbezaan antara negara menunjukkan bahawa arah perubahannya tidak semestinya sama.
Apakah makna semua ini untuk ibu bapa?
Perhatian kepada anak perlu merangkumi lebih daripada bertanya tentang kerja sekolah atau keputusan peperiksaan. Anak juga perlu tahu bahawa mereka boleh bercerita tentang perselisihan dengan rakan, perasaan malu, takut atau marah, dan pengalaman yang sukar mereka jelaskan.
Bantu membina hubungan lebih baik
Perbualan mungkin bermula ketika makan bersama atau dalam perjalanan pulang. Yang penting ialah kesediaan untuk mendengar tanpa terus menghukum atau menepis cerita anak.
Hubungan yang rapat juga memberi ruang untuk mendidik sahsiah. Adab, hormat kepada orang lain dan kesedaran bahawa tindakan sendiri mempunyai akibat perlu dipupuk melalui teladan harian.
Jika anak didakwa melakukan kesalahan, ibu bapa wajar mendengar daripada semua pihak dan membantu anak menerima tanggungjawab yang sewajarnya.
Membela anak secara melulu boleh menutup peluang untuk mereka belajar. Pada masa yang sama, ibu bapa perlu mengenali minat dan kebolehan anak, mengikuti perkembangan pelajarannya serta peka terhadap perubahan emosi yang mungkin memerlukan bantuan profesional.
Bimbingan seperti ini menyokong kesejahteraan anak dan membantunya belajar dengan lebih baik.
Kita sudah mempunyai tempat untuk menggerakkan usaha tersebut, iaitu persatuan ibu bapa dan guru (PIBG). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 hingga 2025 menggariskan peranan kumpulan sokongan ibu bapa (KSIB) dalam PIBG.
Rancangan Pendidikan Malaysia 2026 hingga 2035 pula menyebut penglibatan aktif ibu bapa dalam penerapan nilai di rumah dan di sekolah. Asas dasar dan mekanismenya sudah ada.
Persoalannya ialah bagaimana PIBG dapat membantu ibu bapa membina hubungan yang lebih baik dengan anak.
Poland menawarkan satu contoh yang boleh dipelajari. Program Sekolah Untuk Ibu Bapa dan Pendidik (School for Parents and Educators) menggunakan bengkel kumpulan kecil untuk melatih peserta memahami perasaan anak, berbual tentang emosi, menetapkan batas dan menyelesaikan konflik. Peserta turut mencuba kemahiran itu di rumah.
Perlu mendengar murid
Menurut laporan pelaksanaan bagi 2024, program itu melibatkan kira-kira 766 institusi pendidikan. Sebanyak 378 kumpulan bengkel disertai 2,582 ibu bapa dan 353 guru, manakala 919 ahli psikologi serta pendidik mengikuti latihan profesional dalam 182 kumpulan.
Kenaikan kecil angka Pisa Poland tidak membuktikan bahawa program tersebut menjadi penyebabnya. Nilai contoh Poland terletak pada pendekatan yang praktikal dan berterusan untuk membantu ibu bapa.
Di Malaysia, PIBG bersama KISB boleh memulakan bengkel ringkas yang sesuai dengan jadual keluarga setempat. Kaunselor sekolah dan fasilitator terlatih boleh membantu ibu bapa mengenai cara membuka perbualan tentang masalah sekolah, menetapkan batas dengan jelas dan mengenal pasti bila anak memerlukan bantuan lanjut.
Kejayaannya tidak cukup dinilai melalui jumlah kehadiran ke bengkel. Kita juga perlu mendengar pengalaman murid, termasuk jika mereka semakin selesa membawa masalah kepada ibu bapa.
Pemergian Irene menuntut siasatan yang telus, keadilan buat keluarganya dan pembaikan keselamatan di sekolah. Dalam agenda pendidikan yang lebih luas, hubungan anak dengan ibu bapa dan penjaga juga perlu diperkukuh.
PIBG boleh membantu keluarga membina ruang untuk anak bercerita dan mendapatkan bimbingan, sementara KPM memastikan langkah keselamatan dilaksanakan dengan berkesan.
Setiap anak berhak didengar dan dilindungi ketika berada di sekolah.
TARMIZI ANUWAR ialah ahli akademik gig di Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (Minda-UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/p23189043520984325_447566.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.