ULASAN | Dua orang pelajar meninggal dunia di dalam kawasan sekolah dalam tempoh lapan hari, dan kedua-dua kes disiasat sebagai kes bunuh.

Pada malam 25 Sept lalu, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, pelajar SMK Za'ba di Kuala Pilah, ditemui tidak sedarkan diri di asrama. Dia disahkan meninggal dunia di hospital.

Polis kemudian menahan seorang pelajar senior berusia 16 tahun dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada petang 3 Okt lalu pula Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemui neneknya di dalam dewan sekolah di di Yong Peng, Johor. Dia ke sekolah untuk kelas tambahan dan tidak pulang.

Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun direman enam hari.

Saya membaca kedua-dua berita itu sebagai seorang yang pernah dipukul di asrama sekolah pada 1980. Sebab itulah saya menulis rencana ini.

Tular satu senarai yang menghimpunkan 25 insiden didakwa kematian pelajar berkaitan sekolah dari Feb 2024 hingga Oktober ini melibatkan 26 nyawa. Senarai itu tidak bersumberkan bahan rasmi, dan kes yang saya petik dalam rencana ini disemak dengan laporan media.

Angka itu mengejutkan, tetapi menyembunyikan satu perkara penting. Punca kematian dalam senarai itu sangat berbeza antara satu sama lain.

Antaranya ialah mati mengejut semasa bersukan, jatuh bangunan, renjatak elektrik dan tekanan emosi.

Ia menunjukkan mengapa saringan kesihatan dan alat bantuan kecemasan yang tersedia begitu penting. Kawasan sekitar sekolah juga perlu dipastikan menjadi zon selamat.

Senior datang meminta maaf

Semasa di tingkatan empat, saya pernah dibuli selama setahun di asrama. Ia bermula dengan ‘soal siasat’ oleh pelajar senior setiap hari dan arahan membuat kerja mereka. Saya akur. Keadaan menjadi lebih buruk selepas saya memenangi lima hadiah pertandingan puisi sekolah pada penggal pertama.

Beberapa pelajar perempuan tingkatan lima menghantar surat kepada saya, dan saya tidak pernah membalasnya.

Pada suatu malam, beberapa orang senior menutup saya dengan selimut ketika saya berbaring. Mereka memukul saya sehingga saya tidak boleh bangun. Ia berlaku berkali-kali oleh kumpulan senior yang berlainan.

Saya juga dipaksa melakukan perkara yang memalukan.

Tempat yang selamat bagi saya hanyalah surau sebelum subuh kerana tiada senior mengganggu di situ. Saya pernah terfikir untuk berhenti sekolah, tetapi saya menguatkan semangat untuk terus belajar.

Pada tahun berikutnya saya menjadi senior, dan saya tidak menyentuh seorang pun pelajar tingkatan empat. Seorang senior kemudian meminta maaf, dan saya telah memaafkan semuanya.

STPM students studying school generic 210824

Namun kemaafan tidak memadamkan ingatan. Kesannya masih terasa selepas saya belajar di New Zealand, dan masih terasa hari ini.

Apabila polis menyatakan Idlan Fareeq Shahril dipercayai dihukum oleh senior kerana melanggar peraturan sekolahnya di Kuala Pilah baru-baru ini, saya mengenali corak itu: senior, junior, asrama dan waktu malam.

Empat puluh enam tahun memisahkan kami, tetapi coraknya tidak berubah.

Dua cadangan paling lantang selepas setiap tragedi ialah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua sekolah, dan mengembalikan kuasa merotan kepada guru. Kedua-duanya wajar dibincangkan, tetapi kes-kes terbaru menunjukkan hadnya.

Cadangan lima perkara

Sekolah di Yong Peng itu mempunyai CCTV. Kamera yang ada tidak menyelamatkan Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal kerana tiada kamera di tempat dia ditemui.

Di SMK Za'ba, dapatan awal polis menunjukkan masalahnya bukan kekurangan hukuman. Masalahnya ialah hukuman yang dijatuhkan oleh orang yang tidak berhak menghukum.

Budaya senior mendisiplinkan junior tidak akan hilang dengan memberi rotan kepada guru.

Tiga kes tahun 2025 pula menunjukkan betapa berbezanya setiap tragedi:

• Abdul Fattah Khairol Rizal, 9, jatuh ke dalam lubang kumbahan sekolah di Lenggeng. Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut dan tiada tindakan lanjut.

• Yap Shing Xuen, 16, ditikam di tandas sekolah di Bandar Utama. Mahkamah mendapati tertuduh tidak waras ketika kejadian, dan Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan.

• Zara Qairina Mahathir, 13, ditemui di bawah bangunan asrama di Papar. Inkues masih berjalan dan dijangka tamat pada 23 Okt ini.

Satu kes berpunca daripada penyelenggaraan, satu melibatkan penyakit mental, dan satu lagi belum diputuskan. Tiada satu pun yang dapat dicegah dengan rotan.

KPM sudah mempunyai garis panduan sekolah selamat, polisi perlindungan murid dan garis panduan pengurusan buli. Yang kurang ialah pelaksanaan yang boleh diperiksa di setiap sekolah.

Berdasarkan pengalaman sendiri dan kes-kes di atas, saya mencadangkan lima perkara.

1. Orang dewasa di asrama pada waktu malam. Buli asrama berlaku selepas lampu dipadamkan. Warden perlu meronda, bukan sekadar tinggal di kuarters.

2. Senior tidak boleh menghukum. Kuasa mendisiplinkan mesti kekal pada guru dan warden. Mana-mana "hukuman" oleh pelajar ialah buli dan perlu dilayan sebagai buli.

3. Saluran aduan yang selamat. Mangsa tidak mengadu kerana takut dibalas. Aduan perlu boleh dibuat tanpa diketahui senior, dan dijawab dalam tempoh yang ditetapkan.

4. Audit liputan, bukan bilangan kamera. Dewan, tandas, tangga belakang dan asrama ialah kawasan berisiko tinggi. Ia perlu berkunci atau berpengawas di luar waktu kelas.

5. Audit kemudahan dan kesihatan. Penutup lubang, pendawaian elektrik, zon lintasan di pintu pagar, saringan kesihatan sebelum acara lasak dan alat AED perlu diperiksa mengikut jadual.

Guru tidak boleh memikul semua tugas tersebut bersendirian. Mereka memerlukan warden yang mencukupi, kaunselor terlatih dan perlindungan apabila bertindak mengikut prosedur.

Saya terselamat pada 1980. Malangnya Idlan Fareeq tidak. Selepas 46 enam tahun, berapa orang lagi anak yang perlu kita kebumikan sebelum asrama dan sekolah benar-benar menjadi tempat yang selamat?


MOHD FUDZAIL MOHD NOR seorang OKU, penulis dan pemenang anugerah sastera.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.