ULASAN | Lepasi sasaran pingat Sukan Asia, lalu apa?
ULASAN SUKAN | Penulis masih ingat apabila melihat wajah-wajah ghairah dalam kalangan peminat tegar kita sehari sebelum tirai Sukan Asia edisi kali ini di Aichi-Nagoya dilabuhkan.
Hal itu kerana kontinjen negara sudah berjaya mengutip sembilan pingat emas secara keseluruhan, sekali gus gah melepasi sasaran awal iaitu enam.
Dengan skuad hoki lelaki dan acara beregu lelaki sukan padel layak ke final pada 3 Okt lalu, maka bertambah kerancakan yang berlaku. Kita sudah terbayang angka keramat –emas ke-10.
Belum pernah kita mengutip angka sebesar itu sejak 1954.
Apa pun, impian besar itu berakhir dengan nota hampa. Dua cabang sukan yang amat diharapkan dapat memahat sejarah baru nampaknya gagal melepasi halangan terakhir masing-masing.
Skuad hoki kecundang 1-5 kepada jaguh Asia, India, manakala pemain padel kita tewas kepada pasangan dari Qatar.
Orang putih kata: So near, yet so far.
Namun, soalan yang wajar ditanya di sini ialah: apakah pegawai kontinjen kita sebenarnya secara diam-diam memang menyimpan keyakinan dapat mengutip sembilan pingat emas – ataupun lebih – sebelum mereka memijak bumi Aichi-Nagoya?
Sasaran yang dibisikkan saja
Pada setiap temasya sukan seperti Sukan Asia atau Komanwel, sasaran kita lazimnya agak rendah. Hal itu kerana masing-masing mahu mencari ‘jalan selamat’. Alasannya juga sama: tidak mahu memberikan tekanan tambahan ke atas atlet.
Sekarang, macam mana pula nada suara pihak pengurusan pasukan selepas sembilan pingat emas mampu dituai, malah nyaris digapai pingat ke-10 sekali gus memahat sejarah baru.
Pada hari ini, ada juga kalangan pegawai tertinggi dalam kontinjen mungkin menyebut: “Kita letak sasaran enam, tapi kami memang percaya mampu menambah koleksi pingat emas.”
Ada yang juga yang mungkin menambah: “Tengok...kita hampir dapat 10!”
Bagaimanakah pula senarionya jika kontinjen negara kita hanya mampu pulang dengan lima emas saja kali ini?
Faham-fahamlah. Tak perlu dihuraikan panjang lebar di sini.
/file/attachments/orphans/AsianSepaktakrawFederation-ASTAF33_690384.png)
Kita pun tidak tahu ‘sasaran rahsia’ dalam kalangan pegawai dan atlet. Mana tahu, mungkin angka 10 ada disebut, cuma ia dilafazkan secara bisik-bisik saja.
Kali ini, tentu supremo sukan kita dapat berasa lapang dada sedikit apabila sasaran yang diumumkan itu berjaya dicapai dengan bergaya.
Cabaran yang lebih utama sekarang ialah untuk membuktikan dengan lebih berani dengan meletakkan sasaran Sukan Asia 2030 di Doha, Qatar.
Sifat takut-takut untuk menyatakan sasaran – walaupun mengerti kemampuan anak didik melakar kejayaan – tidak akan membawa sukan kita ke mana-mana. Kita adalah penentu hala tuju sukan negara dan biarlah tabiat suka bersembunyi-sembunyi itu disisihkan segera.
Kemajuan sukan kena ada sifat keterbukaan dan lebih telus.
Nampaknya tiga emas tambahan melalui Azizulhasni Awang (keirin) dan dua lagi dari gelanggang skuasy (acara berpasukan wanita dan lelaki) berjaya menepis cemuhan dan kritikan media.
Ke-11 terbaik di Asia
Prestasi terpuji itu juga menyamai angka emas yang dituai pada edisi 2010 di Guangzhou, China.
Pada edisi kali ini, pemain skuasy wanita, S Sivasangari, memahat pingat emas keenam melalui acara individu sekali gus menyempurnakan sasaran awal. Selebihnya adalah detik-detik ‘bonus’ untuk Malaysia.
Pada masa sama kita mengucapkan syabas atas keringat dicurahkan oleh atlet lain yang menyumbang pingat sama ada emas, perak atau gangsa.
Selain Azizulhasni dan Sivasangari, kalungan tahniah juga diberikan kepada Ng Eain Yow (skuasy perseorangan lelaki), Adeola Fay Robert dan Shahmalarani Chandran (karate-kumite), Taj Izrin Aiman (e-sports) yang masing-masing mencipta saat membanggakan menghadiahkan emas buat seluruh rakyat.
Azizulhasni si Pocket Roketman pula jelas meninggalkan impak besar pada usia 38 tahun apabila memenangi acara kegemarannya, keirin, selain satu pingat gangsa bagi acara pecut.
Dia juga muncul juara di Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada Ogos lalu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/ec03ca4f736397c479d6d547dfb782ec.jpg)
Legenda berbasikal trek itu berundur dengan rasa penuh bangga selepas mengutip keseluruhan tiga emas, satu perak dan dua gangsa. Ini adalah kemunculan terakhir baginya di Sukan Asia.
Dalam acara berpasukan pula skuad sepak takraw negara dinobatkan sebagai raja benua yang baru selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand, dalam acara regu berpasukan. Detik itu mengakhir kemarau panjang pingat emas sejak 1990.
Tak boleh berpuas hati
Begitu juga pasukan skuasy lelaki dan wanita yang tidak menghampakan untuk menakluk Asia sekali lagi. Kejayaan itu meletakkan kita ditangga ke-11 secara keseluruhan dari segi pungutan pingat.
Setidak-tidak dengan jumlah 32 pingat, kita boleh berjalan tanpa perlu menundukkan kepala kerana terbukti mampu menjadi kontinjen kedua terbaik dari Asia Tenggara di belakang Thailand.
Namun selepas Sukan Asia, apa pula?
Kita sebenarnya perlu mengalih fokus kepada tahap baru. Maksudnya kita tidak boleh sama sekali berpuas hati dengan kejayaan ditempat di Aichi-Nagoya.
Setiap atlet harus belajar untuk meningkatkan prestasi masing-masing, khususnya yang berjaya memenangi pingat perak dan gangsa baru-baru ini.
Dalam tempoh dua tahun lagi, kita bakal berdepan satu lagi ranjau sukar iaitu Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles. Itu juga harus diutamakan oleh semua pihak.
Kita juga ada tanggungjawab besar menjelang Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur.
Ingat, hutang pingat emas pertama Olimpik belum dilangsaikan lagi.
V ASHOK ialah bekas pengarang sukan dan pengarang berita luar negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/887/balikklia_283783.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.