ULASAN | Pada malam 10 Okt lalu saya berada di penjuru kanan pentas Odeon Kuala Lumpur untuk menyaksikan konsert Disko Dansa Generasiku yang mempertemukan dua kumpulan muzik alternatif tanah air – OAG dan The Times.

Konsert tersebut menghimpunkan kira-kira 1,500 penonton dengan Radhi dan Naza kembali berkongsi pentas melalui persembahan lagu-lagu kumpulan terbabit.

Di sekeliling saya, anak-anak muda berdansa mengikut rentak muzik. Dentuman dram, petikan gitar dan suara penyanyi memenuhi ruang. Mereka menikmati muzik melalui gerakan tubuh.

Tetapi saya cukup tertarik untuk menyelami permainan bahasa di sebalik lagu-lagu yang dipersembahkan.

Ada dua lagu yang mengundang perhatian saya dari sudut retorik, iaitu PerMYsuri oleh OAG dan Gadisku Dalam Koma oleh The Times. Kedua-duanya berbicara tentang cinta tetapi menggunakan pendekatan bahasa dan pengucapan emosi yang berbeza.

Pada hemat saya, keindahan sesebuah lagu bukan hanya terletak pada melodinya. Lirik juga mempunyai kekuatan tersendiri untuk membina gambaran, membangkitkan emosi dan mempengaruhi cara manusia memahami pengalaman hidup.

Di situlah retorik memainkan peranannya.

Lagu PerMYsuri memperlihatkan kreativiti bahasa Radhi OAG yang luar biasa. Cinta tidak sekadar dilafazkan melalui ungkapan romantik yang lazim. Sebaliknya, cinta digambarkan melalui televisyen, radio, satelit, planet dan dunia penyiaran.

Cubaan hasilkan kesan emosi

Ungkapan Imagine aku TV-mu membuka sebuah dunia imaginasi. Penyanyi membayangkan dirinya sebagai medium komunikasi yang sentiasa hadir dalam kehidupan wanita yang dicintainya.

Dari segi retorik, pendekatan itu dikenali sebagai metafora, iaitu pemindahan makna daripada suatu perkara kepada perkara yang lain. Teknologi yang bersifat mekanikal diberikan sifat manusiawi dan romantik.

Televisyen menjadi lambang kehadiran, radio menjadi saluran suara, manakala satelit menjadi perlambangan hubungan yang merentasi jarak.

Bukankah manusia yang sedang bercinta sentiasa mahu didengar, dilihat dan dirasakan kehadirannya? Kecualilah mereka yang tidak jujur dan tidak mahu kehadirannya dirasai.

Itulah kekuatan metafora. Sesuatu yang abstrak seperti cinta diterjemahkan menjadi gambaran yang dapat dibayangkan oleh pendengar.

Menariknya, Radhi turut menggunakan hiperbola atau pembesaran makna. Gambaran cinta diperluas sehingga menjangkau planet dan angkasa. Seolah-olah dunia yang didiami manusia belum cukup besar untuk menampung perasaan seorang lelaki.

Hiperbola bukan pembohongan. Dalam seni retorik, ia merupakan teknik membesarkan gambaran untuk menghasilkan kesan emosi.

Permainan kata pada judul PerMYsuri pula merupakan satu lagi keistimewaan. Perkataan permaisuri diolah dengan gaya bunyi dan ejaan yang tersendiri menjadikan bahasa lebih nakal, segar dan mudah diingati.

Saya melihat satu bentuk retorik cinta yang menarik. Lelaki yang sedang bercinta bukan saja mahu memiliki hati wanita yang disayanginya. Dia mahu menakluk seluruh dunia wanita tersebut.

Namun, terdapat sisi psikologi yang boleh dipersoalkan: mengapa individu yang bercinta sanggup menjadikan seluruh dunianya berpusat pada seorang manusia?

Apakah itu lambang cinta yang agung, atau sebenarnya gambaran manusia yang sedang kehilangan rasional kerana terlalu mencintai?

Bahasa pembangkit emosi manusia

Persoalan itu menjadikan PerMYsuri lebih daripada sekadar sebuah lagu cinta yang menghiburkan.

Jika PerMYsuri membawa pendengar terbang ke angkasa, Gadisku Dalam Koma membawa kita kembali ke bumi, berhadapan dengan hakikat betapa rapuhnya kehidupan manusia.

Karya The Times itu menggunakan bahasa yang jauh lebih sederhana. Tidak banyak metafora yang kompleks atau permainan kata yang luar biasa.

Sebaliknya, kekuatan utamanya terletak pada pertanyaan, pengulangan, penyesalan dan pengharapan.

Pertanyaan "Seriuskah keadaannya?/Seriuskah situasinya?" menjadi antara ungkapan paling penting dalam lagu tersebut.

Secara literal, pertanyaan itu meminta penjelasan tentang keadaan seseorang yang sedang koma. Tetapi secara retorik, soalan tersebut menggambarkan kegelisahan sseeorang yang takut kehilangan insan tersayang.

Soalan yang diulang tidak semestinya memerlukan jawapan. Kadangkala pengulangan menjadi cara manusia menolak kenyataan yang terlalu menyakitkan untuk diterima.

Teknik itu dikenali sebagai pertanyaan retorik dan pengulangan. Kedua-duanya digunakan untuk mengukuhkan kesan emosi terhadap pendengar.

Dalam teori retorik Aristotle, kekuatan itu dapat difahami melalui pathos, iaitu keupayaan bahasa membangkitkan emosi khalayak.

Namun, bagi saya, keindahan sebenar lagu tersebut terletak pada retorik penyesalannya.

Penyanyi bukan sahaja mengharapkan kesembuhan, malah turut memohon maaf atas kesilapan yang pernah dilakukan.

Kemudian berlaku perubahan psikologi. Daripada kebimbangan terhadap keadaan seseorang, perhatian beralih kepada kesalahan diri sendiri.

Bukankah manusia sering begitu?

Ketika seseorang masih bersama kita, terlalu banyak perkara yang dianggap biasa. Ucapan terima kasih ditangguhkan. Permohonan maaf dilupakan. Kasih sayang dianggap tidak perlu selalu dilafazkan, malah tidak dihargai.

Namun, apabila detik kehilangan semakin hampir, semua perkara kecil tiba-tiba menjadi amat besar.

Lagu itu akhirnya membawa pendengar daripada kebimbangan kepada penyesalan, sebelum menemukan pengharapan melalui doa. Apabila manusia tidak lagi mampu melakukan apa-apa, bahasa yang tinggal hanyalah permohonan kepada Tuhan.

Makna bahasa hidup berzaman

Saya melihat kedua-dua lagu berkenaan memperlihatkan dua wajah cinta yang berbeza.

PerMYsuri menggunakan hiperbola untuk membesarkan keindahan cinta. Gadisku Dalam Koma menggunakan kesederhanaan untuk memperlihatkan kedalaman penderitaan.

OAG meraikan kehadiran seseorang yang penuh imaginasi. The Times membayangkan kemungkinan kehilangannya yang sarat dengan keresahan.

Namun, kedua-duanya berkongsi satu persamaan yang menarik, iaitu keinginan manusia untuk berkomunikasi dengan insan yang disayangi.

Dalam PerMYsuri, komunikasi digambarkan melalui siaran, frekuensi dan satelit. Dalam Gadisku Dalam Koma, komunikasi berlangsung melalui kata-kata yang belum tentu dapat didengar oleh penerimanya.

Betapa ironinya cinta.

Ketika sedang bahagia, manusia mencipta seribu bahasa untuk menyatakan perasaan. Tetapi apabila kehilangan semakin hampir, seribu bahasa itu akhirnya tinggal satu, iaitu doa.

Retorik yang berkesan bukan sekadar memperindah kata. Ia memberikan makna kepada pengalaman manusia.

microphone mic music concert generic

Malam itu, saya memerhatikan anak-anak muda berdansa di sekitar penjuru kanan pentas. Ada yang seperti pasangan suami isteri, teman sepejabat mungkin juga adik beradik.

Mereka mungkin mempunyai tafsiran berbeza terhadap lagu-lagu tersebut. Ada yang menikmati rentaknya, ada yang mengingati kenangan lama, ada yang sedang marah dengan kehadiran seseorang dan mungkin ada juga yang sedang mengalami kisah cinta seperti yang digambarkan dalam liriknya.

Saya pula menikmati muzik sambil membedah bahasa, metafora dan emosi yang dibawanya. Bagi saya, konsert OAG dan The Times bukan sekadar pertemuan dua kumpulan muzik.

Ia memperlihatkan bagaimana karya seni boleh terus hidup merentasi perubahan zaman dan generasi.

Lagu mungkin ditulis pada suatu zaman, tetapi maknanya tidak semestinya terhenti pada zaman tersebut. Setiap generasi berhak menemukan pengalaman dan tafsirannya sendiri.

Manusia tetap bercinta, berharap, menyesal dan takut kehilangan.

Ketika meninggalkan konsert itu, saya membawa pulang lebih daripada pengalaman menikmati muzik. Saya membawa pulang sebuah renungan tentang bahasa cinta dan hubungan antara generasi.

Beza umur tidak bermakna saya tidak dapat menikmati gelombang bunyi mereka.

Kerana pada akhirnya, muzik mungkin milik sesuatu generasi, tetapi keindahannya milik sesiapa sahaja yang mahu mendengar dan menikmatinya.


BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah ialah pengasas Makmal Komunikasi AI Budiman yang memberikan tumpuan kepada aspek retorik, propaganda, penceritaan dan pengucapan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.