Liga Hoki Dunia: The Speedy Tigers dapat talian hayat
Skuad hoki negara kembali menaruh harapan untuk mendapat tempat beraksi di Olimpik Rio de Jeneiro selepas menang ke atas Perancis 4-1di Stadium KHC Dragons, Antwerp Belgium , malam tadi.
Kemenangan itu membolehkan anak didik Tai Beng Hai menempah tiket untuk bertemu Ireland sekali gus berpeluang mencuri tempat yang diperlukan skuad negara ke Brazil tahun depan.
Dalam perlawanan malam tadi rasa cemas sempat menguasai penonton dan penyokong The Speedy Tigers apabila pasukan lawan terlebih dulu menerobos gawang melalui Hugo Genestet pada minit ke-18.
Namun semangat melawan kembali pulih apabila Haziq Shamsul berjaya menyamakan kedudukan sebelum Meor Muhamad Azuan Hassan meletakkan Malaysia di depan beberapa minit kemudian.
Pada minit ke-47, penyerang sensasi negara, Faizal Saari mengukuhkan kedudukan melalui gol ketiga buat pasukan negara.
Pada minit-minit akhir perlawanan, tuah ternyata memihak kepada Speedy Tigers sekali lagi apabila Faizal dirempuh penjaga gol Perancis Martin Zylbermann dalam kawasan D sekali gus dihadiahkan pukalan penalti stroke.
Kapten pasukan negara Muhammad Razie Abd Rahim menyempurnakan pukulan itu sekali gus menghukum skuad bimbingan Gael Foulard itu.

