Liga Super: Tok Gajah gah, JDT kekal mengekori
Aksi ke-14 Liga Super 2015 terus mengukuhkan Pahang sebagai pendahulu liga dengan 30 mata selepas menewaskan Selangor dengan keputusan 3-1, malam tadi.
Walaupun ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama, ternyata kedudukan itu tidak mematahkan semangat anak buah Zainal Abidin Hassan untuk mempertahankan maruah skuad Tok Gajah.
Pada aksi separuh masa kedua, Pahang bangkit memberi tekanan kepada pasukan tuan rumah apabila berjaya menyamakan kedudukan melalui rembatan dari luar kotak penalti oleh Zesh Rehman pada minit ke-51.
Skuad Tok Gajah tidak menunggu terlalu lama untuk menguasai perlawanan apabila kesilapan benteng pertahanan Selangor memberi peluang kepada Matias Conti meledakkan gol kedua lapan minit kemudian.
Pada minit ke-68, Hafiz Kamal melakar gol ketiga kepada Pahang untuk selesa sehingga wisel penamat sekali gus membawa pulang tiga mata penuh.
The Red Giant terpaksa akur dengan gol tunggal jaringan Robert Cornhwaite pada minit kelima perlawanan apabila gagal memanfaatkan kelebihan di laman sendiri.
Sementara itu, pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya mengekang asakan PDRM di laman sendiri dengan keputusan tipis 2-1 meletakkan Harimau Selatan kekal mengekori rapat Pahang dengan 28 mata.
Keputusan lain menyaksikan Kelantan terkulai di Stadium Jalan Besar di Singapura apabila dibelasah 0-3 oleh Lion XII, manakala Perak menang tipis ke atas ATM 2-1 di Ipoh.
Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pula Terengganu menundukkan Sarawak dengan keputusan 4-2, manakala Felda FC hanya mampu seri 2-2 ditentang pasukan tercorot liga, Sime Darby FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

