'Mengapa 30 juta penduduk tapi cuma 1 Chong Wei?'
Pemain badminton negara harus mempunyai matlamat menjadikan sukan itu sebagai karier untuk lebih berjaya, bukan sekadar hobi atau persinggahan sementara menunggu pekerjaan lain.
Bekas jurulatih dan pemain kebangsaan, Datuk James Selvaraj berkata pencapaian Datuk Lee Chong Wei sehingga mampu menjadi jutawan sukan, harus menjadi matlamat pemain lain.
"Badminton boleh menjadi satu karier sama seperti doktor atau peguam. Walaupun tempoh bermain mungkin setakat 10 dan 12 tahun, pemain boleh menjadi jurulatih selepas itu.
"Tiada sebab untuk pemain tidak meletakkan sasaran tinggi untuk memastikan mereka berjaya kerana sukan ini menjanjikan ganjaran lumayan.
"Jadi, bermainlah dengan semangat tinggi demi negara. Pemain harus memiliki perasaan cintakan negara, dan mahu melakukan apa sahaja untuk negara," kata anggota skuad Piala Thomas 1976 yang muncul naib juara kejohanan itu.
Bagi Selvaraj, pada masa sama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) wajar mencari jalan meningkatkan kualiti badminton negara, selain mencari bakat baru untuk diketengahkan.
Katanya, pada ketika sokongan dan galakan ibu bapa dilihat semakin tinggi untuk anak mereka terbabit dengan sukan, BAM harus menjelajah ke daerah-daerah atau pekan kecil untuk mengesan bakat baru.
"Inilah yang dilakukan dulu apabila bakat anak-anak Sidek dapat dikesan di pekan kecil Banting (Selangor) dan begitu juga Phua Ah Hua di Bachok (Kelantan).
Dulu perlu kerja lain
"Kita ada 30 juta penduduk tapi setakat ini hanya mempunyai satu Lee Chong Wei," katanya yang ditemui pada program 'Sepatu Raya Untuk Si Anak Yatim' anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Program itu membawa 25 anak yatim dari Rumah Perlindungan dan Anak-anak Yatim Raudhatul Jannah yang beroperasi di Taman Pelangi, Sentul untuk membeli kasut raya pilihan mereka.
Selvaraj yang juga Pengurus Kanan (Pemasaran) Bata Sdn Bhd mengakui ketika ini pemain sangat beruntung kerana menjadi atlet sepenuh masa dengan diberikan elaun, insentif dan sebagainya berbanding pada zamannya dahulu yang masih perlu bekerja.
Mula mewakili negara pada 1968, pada usia 18 tahun, bapa kepada seorang anak lelaki itu pernah beraksi dalam kempen Piala Thomas dan menjadi juara kebangsaan tiga tahun berturut-turut sejak 1975, sebelum menamatkan kariernya pada usia 32 tahun.
Antara pencapaian beliau adalah pingat gangsa perseorangan Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 1977, naib johan Piala Thomas 1976 di Bangkok, Thailand dan gangsa perseorangan di Sukan Komanwel Edmonton, Kanada pada 1978.
Menceritakan pembabitan kerjayanya di Bata, Selvaraj berkata ketika masih menjadi pemain, beliau ditawarkan syarikat itu membuat program kejurulatihan yang mengkehendakinya ke seluruh negara mengesan pemain sambil mempromosikan kasut Bata.
"Masa mula-mula masuk saya buat program itu sebagai khidmat komuniti untuk Bata di peringkat daerah di seluruh negara. Dua tahun saya buat kerja tu.
"Pada 1983, saya masuk ke bahagian pemasaran dan pada masa sama menjadi jurulatih kebangsaan. Dua-dua kerja saya buat, kerja di Bata dan lari ke BAM untuk melatih.
"Begitupun dua tahun selepas itu, saya akhirnya memilih kerja di Bata dan tidak ada rasa kesal untuk bekerja di sini selama 35 tahun," katanya.
- Bernama

