Van Gaal bersara demi isteri (dua tahun lagi)
Pengurus Manchester United (MU) Louis van Gaal berkata tidak berniat untuk melanjutkan tempoh kontraknya di Old Trafford walaupun mungkin akan ditawarkan terma baru oleh pengurusan.
Beliau memutuskan untuk bersara daripada dunia bola sepak apabila kontraknya dengan MU tamat pada 2017.
Dia menyertai MU pada tahun lalu dan diikat selama tiga musim.
"Saya akan bersara pada 2017. Saya telah berjanji kepada isteri. Kami tidak bersama selama beberapa tahun.
"Jadi, itulah alasan saya bersara nanti," kata Van Gaal.
Menurut bekas pemain kebangsaan Belanda dan pengurus pelbagai kelab elit di dunia itu, dia mesti mengotakan janji kepada isterinya, Truus.
"Ketika ini saya masih bekerja dan minggu depan usia saya akan menginjak 64 tahun," jelasnya.
Mahu nikmati hidup suami isteri
Tambahnya, menjadi jurulatih pelbagai kelab dan pasukan kebangsaan merupakan pengalaman yang luar biasa.
Tegasnya, dia tidak akan mengingkari janjinya (kepada isteri) walaupun ada tawaran sebagai jurulatihdengan gaji lebih besar.
"Saya sudah perolehi segalanya sebagai jurulatih. Saya menjadi jurulatih di Belanda, Sepanyol dan Jerman.
"Hasrat untuk berada di England juga sudah tercapai sekarang. Saya juga menjadi jurulatih Belanda untuk Piala Dunia.
"Perlukah saya ke Qatar untuk mendapatkan banyak wang? Saya rasa, tidak. Anda harus nikmati hidup dan hubungan dengan isteri," tambahnya.

