Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas puas menyaksikan betapa bergayanya Arsenal menumpaskan Stoke pada Sabtu lalu, saya tidur. Ia semudah itu.

Sebelumnya saya sempat juga menjeling televisyen di sebuah bistro mamak di Bangsar untuk melihat dengan lucu betapa bendulnya Jose Mourinho melayan Everton.

Sepanjang minggu kelima EPL, hanya satu perlawanan penting disiarkan di televisyen, iaitu Arsenal mengalahkan Stoke. Selebihnya adalah sekadar perlawanan pelengkap EPL musim ini.

Saya hanya mencari-cari keputusan perlawanan lain pada tengah hari Ahad selepas semua urusan harian yang lebih penting diselesaikan. Mandi, bersarapan, membeli barangan keperluan harian untuk seminggu dan sebagainya.

Oh ya. Sebelum mencari keputusan lain EPL, saya mengutamakan juga keputusan perlawanan Piala Malaysia. Apa kedudukan Kelantan dengan Selangor, misalnya, atau siapa yang menang antara Pulau Pinang dan PKNS FC.

Fan Liverpool. Kami menunggu awak dekat pintu gua ni. Mai la masuk sama2.” – begitu catatan status seorang rakan Facebook. Dia pencinta Chelsea.

Memang gigih betul

Sebelum saya mengambil tahu apa kedudukan kelab lain di EPL, saya sudah dapat mengagak bahawa penghuni gua masih meriah untuk minggu ini. Mungkin ada antara mereka sudah keluar gua, tetapi yang memilih untuk terus bertapa masih ramai.

Syabas The Reds dan The Blues. Kalian memang gigih. Gabungan merah dan biru memang boleh menceriakan sebuah gua yang suram.

Namun khabarnya pada awal pagi Ahad itu ramai yang gelisah. Sesetengah rakan saya diceritakan cuma tersenyum pahit ketika disapa. Seorang daripada mereka dikhabarkan terus merempit dengan motor Suzuki TS 185 keluaran 1977 yang dibanggakannya itu terus membelah gelap malam selepas perlawanan berakhir.

Seorang lagi penyokong tegar The Reds mengoyakkan selongsong iPhone beliau ketika perlawanan Liverpool – Manchester United masih berlangsung.

Cerita kawan saya, ketika Benteke membuat jaringan agak cantik untuk menjadikan kedudukan 1- 2 itu penyokong Liverpool sangat teruja - hinggakan mereka menganggap kedudukan sudah 2 -2!

Mereka kemudian terdiam lagi, bagaikan susah benar menerima realiti. Sama seperti penyokong ‘Syaitan Merah’ yang teruja melihat kelicikan Anthony Martial menyumbat gol ketiga sambil tanpa menyedari ia menghidupkan semula kelibat Thierry Henry.

Tunggulah minggu depan. Mungkin Arsenal akan lebih bersimpati kepada Chelsea.

Sementara itu Liverpool masih boleh diselamatkan. Masih ada harapan, dan sebagai bangsa yang bermaruah serta matang, mereka boleh saja melakukan perubahan. Jika perlu Brendan Rodgers bolehlah meletakkan jawatan secara bermaruh.

Rodgers bukan jenis orang kuat merajuk. Kalau peminat marah, dia akan pergi dengan persetujuan kelab. Dan dia tidak akan mencadangkan supaya polis England yang mengawal stadium digantung sama.

Sementara itu cik Siti Merah Manja bolehlah pergi menggantung (atau menyidai) kain dulu. Mungkin di pintu gua. Ha ha ha!


WIRA KELANA seorang eksekutif syarikat swasta di Lembah Kelang yang pernah menjadi pemain bola sepak pada zaman sekolah menengah dan universiti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS