Pemain Terengganu, Norshahrul Idlan Talaha menerima hukuman daripada FAM selepas didapati bersalah memijak dengan sengaja kaki pemain lawan dalam perlawanan di Stadium Darulaman, Alor Setar pada 18 September lalu.

Hasil mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM semalam, bekas pemain JDT itu dihukum gantung lima perlawanan - termasuk satu daripadanya automatik - selain didenda RM2,500.

Dalam kenyataannnya hari ini FAM memberitahu, Norshahrul yang juga digelar sebagai Mat Yo dilarang bermain dalam perlawanan Terengganu menentang:

  • LionsXII di Stadium Jalan Besar, Singapura (26 September)
  • Kedah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak (17 Oktober)
  • JDT di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang; (27 Oktober)
  • LionsXII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak (31 Oktober)

Baki satu lagi penggantungan ditetapkan sebagai perlawanan rasmi pertama yang seterusnya untuk Norshahrul Idlan.

"Pemain diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama," kata kenyataan itu.

Dalam perlawanan menentang Kedah pada 18 September itu Norshahrul dilayangkan kad merah oleh pengadil, Muhamad Nazmi Nasaruddin, selepas didapati melakukan kekasaran terhadap pemain lawan, Osman Mohamad Yusof.

Norshahrul mendakwa dia hilang kawalan terhadap emosinya sehingga bertindak demikian.

Perlawanan berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Kedah yang membelasah Terengganu 5 - 0.