Klopp larang isteri, kekasih pemain di Melwood
Selepas Liverpool sekadar seri pada perlawanan pertama di bawah bimbingannya, Jurgen Klopp, dikhabarkan mengeluarkan larangan baru kepada semua pemain The Kops.
Kali ini, Klopp mengharamkan kedatangan isteri atau kekasih pemain ke pusat latihan mereka, Melwood.
"Melwood adalah pusat utama bola sepak," kata Klopp sekali gus memberi peringatan keras agar semua pemain mematuhi peraturan itu.
Bekas jurulatih Borussia Dortmund itu dilaporkan mewujudkan peraturan itu supaya pemain fokus 100 peratus pada setiap sesi latihan yang berlangsung.
Peraturan itu dikatakan berkuatkuasa sejak Klopp tiba dan mengadakan pertemuan dengan pemain Liverpool di Anfield sebaik menggantikan Brendan Rodgers yang dipecat.
Bagi jurulatih dari Jerman itu, larangan itu dibuat untuk mengubah mental barisan pemain walaupun disifatkan sebagai perkara kecil yang perlu diubah segera demi kepentingan jangka masa panjang kelab tersebut.
"Saya perlu memberikan pemain sesuatu yang mereka boleh lakukan. Pastinya saya mahu lihat perubahan mental dan fokus pada minit pertama hingga perlawanan berakhir," katanya.
"Bukan sebab sebelum ini mereka teruk, tetapi itu (peraturan) perkara paling senang yang boleh diubah. Kami perlu ke London, keluar dari stadium, keluar dari bangku simpanan dan memperlihatkan apa yang kami boleh lakukan.
"Ini adalah apa yang kami nantikan sepanjang minggu. Itu adalah apa yang kami impikan. Idea saya bukanlah lebih baik dari Rodgers, pastinya berbeza dan saya memerlukan waktu. Ia cabaran besar," katanya selepas seri tanpa jaringan ketika bertandang ke gelanggang Tottenham.

