AFC 2015: Tahniah sultan suntik semangat JDT di final
"Tahniah JDT".
Ucapan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar buat pasukan bola sepak negeri Johor itu sudah cukup untuk menggambarkan kegembiraan baginda dengan kejayaan yang dilakar skuad Harimau Selatan itu.
Ucapan yang dimuat naik di Facebook The Southern Tigers itu susulan kejayaan JDT menempah tiket ke peringkat akhir Piala AFC 2015.
Walaupun layak secara automatik selepas perlawanan di peringkat separuh akhir dengan kelab Kuwait, Qadsia SC dibatalkan susulan tindakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menggantung Persatuan Bola Sepak Kuwait (KFA), kejayaan itu pastinya membanggakan Malaysia.
JDT bakal berdepan kelab Tajikistan, FC Istiklol pada 31 Oktober ini di gelanggang lawan.
Walaupun tampil sebagai pasukan bukan pilihan, JDT pastinya membawa harapan besar peminat bola sepak negara khususnya penyokong Harimau Selatan.
Berdasarkan rekod, satu lagi wakil negara iaitu Pahang tewas kepada FC Istiklol di peringkat suku akhir. Keputusan tersebut menyaksikan FC Istiklol bukanlah lawan yang mudah kepada JDT.
Ketua Jurulatih JDT, Mario Gomez dilaporkan berkata, pasukannya terpaksa berdepan dengan beberapa cabaran di Dushanbe.
Antaranya, mereka perlu menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk dan terpaksa mencari keserasian beraksi di atas padang rumput tiruan.
Walaupun turun sebagai pasukan bukan pilihan, Gomez menyifatkan tiada yang mustahil buat JDT untuk melakar kejutan.
Berdasarkan prestasi semasa di tanah air, JDT kini mendahului kumpulan B saingan Piala Malaysia 2015 selepas mencatatkan kemenangan tiga kali berturut-turut.
Namun, mampukah anak buah Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim melakar kejayaan baru di pentas Asia sekali gus membuka mata pasukan lain untuk melakukan perubahan seperti mana yang dialami JDT?
Tahniah JDT ------------Congratulations JDT
Posted by JOHOR Southern Tigers on Sunday, 18 October 2015

