Berikutan isu agihan hasil daripada hak penyiaran perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) yang dibangkitkan Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, FAM tampil menjelaskan cadangan yang dibentangkan untuk dilaksanakan pada tahun depan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perkara itu masih di peringkat cadangan hasil perbincangan Jawatankuasa Eksekutif FAM yang bersidang sebelum ini.

Katanya, asas cadangan pengagihan pendapatan hak penyiaran itu hampir sama seperti diamalkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) ketika mengagihkan hasil penganjuran Piala Dunia.

"Mengikut cadangan itu, 30 peratus diagihkan kepada pasukan bertanding, 20 peratus kepada Football Malaysia LLP (FMLLP) bagi kos operasi dan pengurusan pertandingan, serta 10 peratus lagi bagi pembangunan bola sepak termasuk pengadilan, kejurulatihan dan pemain.

"Baki selebihnya iaitu 40 peratus kekal menjadi hak milik FAM selaku pemegang hak milik intelektual Liga-M," katanya dalam kenyataan semalam.

FMLLP adalah agensi yang ditubuhkan hasil kerjasama antara FAM selaku badan induk bola sepak negara dan penganjur perlawanan di Malaysia dengan syarikat perunding media antarabangsa, MP & Silva.

MP & Silva berpusat di London dan memiliki 18 pejabat cawangan di seluruh dunia.

Pendapatan mungkin lebih tinggi

Ia berperanan menguruskan hak penyiaran untuk pelbagai acara sukan antarabangsa dan mengedarkan kira-kira 10,000 jam program untuk sekitar 500 penyiar di seluruh dunia.

Kerjasama antara MP & Silva dengan FAM akan menyaksikan FMLLP bakal menjadi pengurus semua perlawanan Liga M tahun depan jika semuanya berjalan lancar.

Hamidin berkata, MP & Silva menjanjikan pulangan keseluruhan sebanyak RM70 juta setahun tetapi ia bukanlah kepada FAM sepenuhnya kerana ia perlu diagihkan kepada pihak lain yang terbabit dalam saingan liga.

Katanya, jumlah perolehan itu mungkin lebih tinggi jika firma berkenaan berjaya mendapatkan hasil komersial lain.

"Jadi itulah sebab mengapa FAM perlu mendapat 40 peratus daripada hasil pecahan pengagihan hak penyiaran tersebut," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut perkara itu, Hamidin berkata FAM memerlukan purata RM70 juta setahun untuk menampung perbelanjaan pengurusan semua pasukan kebangsaan dan menganjurkan pertandingan tempatan.

Masih dalam proses

Antaranya, Liga FAM, Piala Presiden, Piala Belia, Liga Futsal Kebangsaan dan Piala Tun Sharifah Rodziah.

"Peruntukan juga diperlukan FAM untuk menjalankan operasi di Wisma FAM merangkumi kos gaji kakitangan termasuk jurulatih dan pegawai teknikal," katanya.

Sebenarnya, kata Hamidin, daripada RM70 juta setahun yang dijanjikan MP & Silva, persatuan induk berkenaan hanya menerima RM28 juta (atau 40 peratus) dan perlu mencari RM42 juta lagi untuk menampung perbelanjaan tahunannya.

Sementara itu, menjelaskan konsep amalan Fifa beliau mengambil contoh hasil pendapatan keseluruhan Piala Dunia 2014 di Brazil - iaitu AS$4.8 bilion (RM20.7 bilion) - pasukan bertanding hanya mendapat 13 peratus iaitu kira-kira AS$628 juta (RM2.7 bilion).

"Semua negara ahli gabungan Fifa pula hanya berkongsi perolehan sebanyak 5.5 peratus iaitu kira-kira AS$268 juta (RM1.1 bilion).

"Secara keseluruhan, pasukan bertanding akan mendapat 18.5 peratus.

"Bagi Fifa, hasil bersih diterima mereka sebanyak AS$2.6 bilion (RM11.2 bilion) selepas ditolak kos perbelanjaan AS$2.2 bilion (RM9.5 bilion) iaitu kira-kira 54 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan," jelas beliau.

Bagaimanapan Hamidin berkata, jumlah peratusan sebenar pecahan peratusan berkenaan masih belum diputuskan atau dimuktamadkan sepenuhnya kerana FAM masih dalam proses untuk menetapkannya.