Kembara The Kop: Dari Pudu ke Anfield
Mana cukup dengan berbangga sebagai penyokong tegar The Kop di restoran atau bersorak girang ketika menang - dan bermuram durja jika kalah.
Justeru salah seorang peminat The Kop dari Kelantan, Aliff Fikri, berazam untuk keluar dari kepompong bersorak di depan televisyen dan mencari akar budi di sebalik nama Liverpool itu sendiri.
Di usia lewat 20-an pemuda yang kini menganggur itu menjejakkan kaki buat pertama kali di bumi Liverpool dan pada mulanya tidak lebih untuk mengetahui lebih dekat aspek sosiopolitik masyarakat yang tidak sebulu dengan pemerintah United Kingdom.
"Di mana-mana sahaja di Liverpool, ada banyak pelekat yang memberi mesej menolak kerajaan, sama ada di tandas, lampu isyarat, kedai makan mahupun pasar raya.
"Ia adalah suara kebencian dan penolakan seluruh warga Scouser (Liverpool) terhadap parti Konservatif (yang kini memerintah United Kingdom kini) dan pakatannya iaitu parti Liberal Demokrat.
"Buat masa sekarang, tidak ada seorang pun ahli parlimen Konservatif terpilih di Liverpool," katanya kepada Malaysiakini .
Kembara Aliff bermula dari Kuala Lumpur pada 17 Oktober lalu dan setakat ini dia masih menghidu udara kota sambil menikmati aura Jurgen Klopp di situ.
Ditanya selama mana dia akan bermukim di Merseyside itu, Aliff berkata, belum ada kepastian sebenar, namun kemungkinan besar "sehingga Liverpool meraih kemenangan pertama" di bawah kendalian Klopp.
Selari dengan moto Liverpool - You'll Never Walk Alone - bekas wartawan itu sempat menelusi jejak legenda kelab berkenaan, seperti Steven Gerrard, Xabi Alonso sambil mengabaikan hal remeh-temeh ditinggalkan Brendan Rodgers ( gambar ).
Aliff berkata, keutamaan kembaranya adalah menjejakkan kaki ke gelanggang keramat Anfield dan sekadar bergambar di luar stadium pemenang Piala Liga Juara-juara 2005 itu.
Bagaimanapun nasib menyebelahi apabila dia berpeluang melihat aksi anak buah Klopp - suatu bonus dalam perjalanan itu.
Klopp dilantik pemilik Liverpool, Fenway Sports Group, menggantikan Rodgers, 42, yang dipecat pada 5 Oktober lalu walaupun prestasi Liverpool di bawahnya tidaklah seburuk Chelsea.
Klopp, 48, mencipta nama harum selepas mengemudi Borussia Dortmund mencipta kejayaan di Bundesliga sebelum meletak jawatan selepas musim 2014/2015 berakhir tidak lama dulu.
[Bersambung]

