Liverpool rakus benam Southampton
Liverpool melangkah ke aksi separuh akhir Piala Capital One dengan bergaya selepas mengukir kemenangan besar 6 - 1 ke atas Southampton, awal pagi tadi.
Pada perlawanan di Stadium St Mary itu, pasukan tuan rumah terlebih dahulu mengejutkan anak buah Jurgen Klopp, iaitu seawal minit pertama perlawanan.
Sebaik sepak mula dilakukan pemain Southampton melancarkan serangan pantas ke arah kubu Liverpool. Hasilnya Sadio Mane berjaya menanduk kencang bola hantaran silang Ryan Bertrand melepasi jangkauan penjaga gol The Kop, Adam Bogdan.
Namun, anak buah Klopp bangkit dengan gol penyamaan Daniel Sturridge pada minit ke- 26 dan mula mendahului lawan pada minit ke- 29, juga melalui Sturridge.
Malah menjelang minit akhir separuh masa pertama, Divock Origi menjarakkan lagi kedudukan menjadikan keputusan 3 - 1.
Di separuh masa kedua, Southampton bermain lebih defensif dan pengurusnya, Ronald Koeman, menggantikan pemain Jordy Clasie dengan Shane Long.
Kehadiran Long dilihat tepat apabila berhasil mencemaskan kubu pertahanan Liverpool, namun tiada tambahan gol dibuat sehingga permainan tamat.
Sebaliknya, Liverpool terus berpesta gol apabila Origi menggegarkan gawang Southampton pada minit ke-68, manakala Jordon Ibe menyumbang gol kelima mereka pada minit ke-73.
Selepas unggul dengan lima gol, Liverpool mengendurkan taktikal menjelang 10 minit terakhir perlawanan.
Bagaimanapun, kelekaan pemain tuan rumah memberi peluang buat Origi melengkapkan gol hatriknya pada minit ke-86.
Kemenangan itu sekali gus membawa Liverpool mengikut jejak langkah Manchester City, Stoke City dan Everton ke pusingan separuh akhir dijangka berlangsung awal tahun depan.

