Penganjur Kejohanan Skuasy Wanita Dunia 'berhelah'
Penganjur Kejohanan Skuasy Wanita Dunia dilihat seperti cuba memeras ugut kerajaan apabila membatalkan program itu kononnya atas alasan faktor keselamatan.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, tindakan penganjur utama kejohanan itu, Hallmark Events Group, memetik nasihat umum dikeluarkan Jabatan Negara AS adalah tidak tepat.
Katanya, nasihat keselamatan yang dikeluarkan itu bukan khusus untuk Malaysia, sebaliknya dibuat secara menyeluruh.
"Apa yang lebh menarik, (faktor keselamatan) itu bukan satu-satunya sebab (mengapa kejohanan itu dibatalkan). Mereka menghadapi masalah kewangan.
"Dalam jawapan balas mereka (penganjur) kepada pejabat saya semalam, mereka memberitahu boleh menganjurkan kejohanan itu sekiranya kerajaan Malaysia memberi tajaan termasuk menaja RM3.5 juta bagi pengurusan kawalan keselamatan swasta," katanya.
Menurut Khairy kenyataan itu menunjukkan pihak terbabit menggunakan alasan keselamatan untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan.
"Saya tidak dapat menerima itu. Saya tidak boleh terima mereka memeras ugut (kerajaan) menggunakan alasan keselamatan ketika alasan utama mereka menangguhkan kejohanan adalah disebabkan isu tajaan," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.
Kejohanan Skuasy Wanita Dunia sepatutnya diadakan di Kuala Lumpur antara 11 hingga 18 Disember ini sebelum ditangguhkan dengan memetik alasan keselamatan.
Khairy berkata, alasan untuk mengaitkan isu keselamatan dengan penundaan kejohanan itu tidak masuk akal kerana negara ini baru saja menganjurkan sidang kemuncak Asean yang membabitkan ramai pemimpin utama asing, termasuk Presiden AS Barack Obama.
Katanya, kerajaan memang tidak dapat memenuhi permintaan tajaan itu.
Selain kekangan perbelanjaan, kerajaan juga, kata Khairy, tidak bertanggungjawab mendanai kejohanan berkenaan.
"Ini Kejohanan Skuasy Wanita Dunia. Mereka adalah penganjur, maka mereka sepatutnya mendapatkan dana," katanya.

