Tinju Muay Thai: Kelantan cari bakat baru
Persatuan Boksing Kelantan kini berusaha mengesan bakat baru khususnya bagi kategori 70kg untuk diketengahkan dalam pertandingan Majlis Tinju Dunia (WBC) Muay Thai pada pertengahan tahun depan.
Berikutan itu, setiausahanya Mohd Kamil Ismail berkata persatuan itu akan menganjurkan beberapa siri pertandingan di peringkat negeri bagi mencari bakat yang mampu diketengahkan dalam kategori berkenaan.
"Ini bagi membolehkan petinju kita bersaing dengan petinju antarabangsa yang rata-ratanya berbadan lebih besar.
"Kebanyakan atlet yang kita ada sekarang ini mempunyai badan yang kecil dan tidak sesuai jika bertanding dengan petinju luar negara," katanya kepada Bernama di Kota Bharu, semalam.
Beliau berkata Kelantan sebelum ini mempunyai banyak petinju berbakat dengan berat badan yang sesuai, namun kebanyakan mereka telah berhijrah kerana beberapa faktor.
"Antaranya kerana mereka mendapat pekerjaan baharu terutama dengan polis dan tentera, sekali gus bernaung dengan Persatuan Muay Thai kedua-dua agensi keselamatan itu," katanya.
- Bernama

