Juara 10 kali Mr Universe, Sazali Samad, didedahkan sebagai atlet bina badan yang gagal ujian doping pada 1 September lalu.
Kehadiran beliau mengadap Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bina Badan Malaysia (MBF) di Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi hari ini seolah menjawab persoalan mengenai siapakah atlet terbabit kes tersebut.
Harian Metro melaporkan, atlet bina badan negara itu diarahkan untuk membela diri susulan didapati positif menggunakan steroid.
Keputusan berkenaan dibuat selepas ujian dijalankan oleh Agensi Antidoping Malaysia (Adamas).
Menurut peraturan Agensi Antidoping Dunia (Wada), Sazali boleh dikenakan hukuman gantung empat tahun daripada terlibat dalam sebarang pertandingan.
Selain gelaran Mr Universe, Sazali, 48, turut meraih gelaran Mr Asia sebanyak sembilan kali sepanjang kariernya.
Terdahulu, media melaporkan seorang atlet bina badan berdepan hukuman selepas didapati menggunakan dadah jenis steroid.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini juga memberi amaran tidak akan bertoleransi dalam kes penyalahgunaan dadah di kalangan ahli sukan.
