Kapten Manchester United (MU), Wayne Rooney menegaskan kelabnya akan berjuang habis-habisan demi Pengurus, Louis Van Gaal.

Penampilan The Red Devils menjadi perhatian selepas gagal meraih kemenangan dalam enam perlawanan sebelum ini.

Susulan itu, kedudukan Van Gaal terancam dengan risiko pemecatan sekiranya prestasi hambar terus dipamerkan skuadnya.

Spekulasi liar juga muncul yang mendakwa barisan pemain meminta supaya jurulatih dari Belanda itu menukar kaedah kejurulatihan sama ada ketika perlawanan mahu pun sesi latihan biasa.

‎Bagaimanapun, menurut Rooney ( gambar ), beliau dan rakan-rakan akan memperjuangkan nasib bos mereka.

"Keputusan dalam perlawanan beberapa minggu terakhir ini tidak memuaskan kami. Kami perlu lebih kuat dan bersama-sama untuk meraih keputusan yang baik.

‎"Kami mampu melakukan yang lebih baik. Kami akan bekerja keras dan berjuang untuk pengurus dan mengubah musim ini menjadi lebih baik," Rooney dipetik sebagai berkata.

Ketika ini, Manchester United berada di kedudukan kelima Liga Perdana English (EPL) dengan kutipan 29 mata.

‎Minggu ini, MU bakal diuji di gelanggang Stoke City di Stadium Britannia dengan misi penting mereka demi Van Gaal.