Johor tak terikut-ikut pelaburan besar ke Liga-M
Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) tidak akan terikut-ikut dengan langkah sesetengah pasukan tempatan yang dilapor membuat pelaburan besar bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2016.
Presiden PBNJ Datuk Ismail Karim sebaliknya menegaskan mereka akan memastikan bajet skuad Harimau Selatan bagi menghadapi Liga-M musim depan diuruskan secara berhemah demi memastikan kelangsungan kelab selatan tanah air itu.
"Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) akan memastikan Johor Darul Ta'zim kekal bersaing bersama kelab-kelab dan persatuan bola sepak kaya seperti Pahang, Terengganu, Felda United dan Selangor meskipun ia tugas sukar.
"Untuk mengekalkan daya saing tersebut, ia perlu diuruskan dengan berhemah dan menjadi tanggungjawab PBNJ untuk memastikan kelangsungan kelab tersebut," kata Ismail menerusi entri terbaharu dalam laman Facebook rasmi pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), The Southern Tigers, semalam.
Pada masa sama, beliau turut meminta penyokong skuad Harimau Selatan supaya memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan itu supaya dapat mencipta lebih banyak kemenangan pada masa akan datang sebagaimana hasrat, Penaung Diraja PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang merupakan Tunku Mahkota Johor.
Untuk rekod, JDT meraih tiga piala musim ini selepas merangkul Piala Sultan Ahmad Shah, Piala Liga Super dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Kejayaan cemerlang tersebut menyaksikan mereka membolot lapan daripada 17 anugerah pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015, baru-baru ini termasuk anugerah khas di atas kejayaan mereka menjadi wakil pertama Malaysia muncul juara Piala AFC sejak ia diperkenalkan pada 2004.
Liga-M 2016 bermula dengan perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah di antara JDT selaku juara Liga Super dan Selangor yang merupakan juara Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 13 Feb 2016.
- Bernama

