Hafiz sokong Liew Daren jadi pemain profesional
Bekas pemain kebangsaan, Muhammad Hafiz Hashim menyokong keputusan pemain elit kebangsaan Liew Daren untuk bergerak selaku pemain profesional musim ini.
Beliau bagaimanapun menasihatkan pemain berkenaan supaya pandai menyusun jadual serta latihan yang sering menjadi masalah utama kepada pemain profesional setelah tidak terikat dengan persatuan badminton negara masing-masing.
Muhammad Hafiz menjelaskan soal mendapat penajaan tidak timbul kerana Daren masih cergas untuk beraksi sama ada pada kejohanan tempatan atau antarabangsa.
"Bagi saya, apa yang dia buat itu satu keputusan yang bijak.
Mungkin dia rasa lebih sesuai berada di luar (Persatuan Badminton Malaysia). Mungkin dia cuba cari angin baharu.
"Namun satu benda yang agak sukar (selaku pemain profesional), adalah dia perlukan uruskan sendiri jadual kejohanan dan latihan. Pasangan sparring selain mencari jurulatih (peribadi)," katanya yang kini bermain dengan Kelab Badminton Petaling Jaya (PJBC).
Daren Rabu lalu mengumumkan hasrat untuk keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas berakhir Kejohanan Grand Prix Emas Malaysia Masters di Pulau Pinang dari 19 hingga 24 Januari ini, setelah mendakwa gagal mencapai prestasi terbaiknya bersama BAM sejak dua tahun lepas.
Dalam pada itu, Muhammad Hafiz berkata beliau bersedia membantu pasukan remaja Kelantan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Sarawak pada Julai ini bersama abangnya Muhammad Roslin sekiranya tawaran yang diberikan oleh Persatuan Badminton Kelantan (PBK) memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Beliau kini menguruskan akademi badminton yang diusahakan bersama rakannya di Kota Damansara, Selangor manakala abangnya terlibat dengan bidang kejurulatihan di Kuala Lumpur.
"Kita tidak keberatan (untuk membantu) pemain-pemain Kelantan. Kalau ada perbincangan yang selanjutnya, saya akan pertimbangkan, namun saya dan abang saya perlu memikirkan secara mendalam kerana kami mempunyai komitmen masing-masing ketika ini," kata Muhammad Hafiz yang merupakan pemain kelahiran Kelantan.
Negeri pantai timur itu dilaporkan bercadang menghantar 16 pemain yang akan beraksi dalam acara berpasukan, beregu dan perseorangan pada Sukma 2016.

