Tindakan pelumba negara Khairul Idham Pawi lari daripada semburan arak ketika kejohanan MotoGP baru-baru ini adalah menepati kehendak al-Quran, kata Presiden Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz), Norazli Musa.

"Geng Ustaz amat mengagumi kejayaan yang dicapai oleh Khairul Idham dan kejayaan yang lebih mahal ialah apabila akhlak terpuji yang ditunjukkan oleh beliau iaitu dengan menjaga batasan agama.

"Beliau tidak bersama dalam acara 'semburan arak’ sewaktu penyampaian piala kemenangan," katanya melalui kenyataan di Facebook Geng Ustaz Cintakan Ulama, hari ini.

Norazli turut memetik ayat 140 surah an-Nisa bagi memberi gambaran tindakan Khairul Idham menepati perintah Allah apabila mengelak diri daripada acara semburan arak tersebut.

Katanya, anak muda dan atlet harus menjadikan Khairul Idham sebagai contoh yang patut diikuti dan diteladani.

"Ini menunjukkan bahawa Islam sebenarnya amat menggalakkan agar umatnya aktif dalam aktiviti kesukanan dengan mengekalkan pegangan agama dan masih mampu beroleh kejayaan cemerlang.

"Majulah sukan untuk agama dan negara," katanya.

Kejayaan remaja berusia 17 tahun yang mewakili Honda Team Asia sekali gus mencipta sejarah apabila menjadi pelumba pertama malaysia memenangi kejohanan tersebut bagi kategori Moto3.

Khairul Idham mengejutkan dunia khususnya warga Malaysia selepas berjaya menamatkan 21 pusingan di Litar Termas de Rio Hondo dengan mendahului pesaing lain.

Sementara itu, Geng Ustaz turut memuji semangat seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin dari pasukan Drive M7 SIC Racing Team.

Dalam acara itu, Adam berjaya menduduki tangga ke-11 walaupun terbabit dalam kemalangan di selekoh akhir pusingan dengan menolak motosikalnya ke garisan penamat.