Untuk menyaksikan Usin Bolt beraksi - mungkin untuk kali terakhir dalam kerjayanya - penganjur 'bermurah hati' menyediakan tiket serendah £9.58 pada Kejohanan Olahraga Dunia London tahun depan.

Nilai tiket itu ditetapkan sebagai memperingati rekod dunia dicipta pelari 100 meter dari Jamaica itu.

Rekod dunia Bolt dicipta di Berlin, Jerman pada 2009.

Penganjur London 2017 berkata temasya itu adalah yang terbesar diadakan di Stadium Olimpik London sejak 2012.

Kenyataan menyebut harga tiket berkenaan ditawarkan kepada kanak-kanak untuk menggalakkan mereka hadir dan menyemai minat dalam sukan olahraga.

Sebahagian tiket pula dijual mengikut catatan masa rekod dunia bagi acara lain.

Sebanyak 700,000 tiket akan mula dijual kepada orang awam mulai 1 Ogos hingga 22 Ogos ini.

Bukan faktor wang

Sementara itu penganjur menafikan rancangan mengumumkan persaraan Bolt di London tahun depan dibuat atas dasar komersial.

Ketua Eksekutif London 2017 Niels de Vos berkata pendorong tunggal Bolt akan mengumumkan secara rasmi persaraannya di Stadium Olimpik itu nanti adalah kerana mahu menamatkan kerjaya sebagai juara dunia.

Kenyataan itu dibuat ketika ada sesetengah pihak mendakwa pelan berkenaan dilakukan untuk menjana keuntungan kepada Bolt dan penaja menggunakan wang cukai daripada rakyat.

Kerajaan pula bersetuju mengecualikan potongan cukai kepada atlet asing untuk temasya itu walaupun United Kingdom memang melaksanakan dasar percukaian ketat selama ini.

Bolt - yang sebelum ini memboikot Britain sebagai bantahan terhadap dasar percukaian berkenaan - pula bersetuju bersara di London berbanding selepas Sukan Olimpin Rio pada tahun ini atas kehendak penajanya, Puma.

Bolt menerima tajaan bernilai £7 juta (RM38.8 juta) setahun daripada Puma.

Mengulas mengenai harga tiket itu, Bolt, 29, berkata dia menghargai keputusan penganjur menawarkan harga renda kerana boleh menarik lebih ramai kanak-kanak datang.

"Saya sentiasa menekankan bahawa kanak-kanak adalah masa depan kita dan inisiatif penganjur London 2017 perlu dipuji.

"Saya harap ia menggalakkan ramai kanak-kanak menyertai bidang sukan olahraga," katanya.