JDT kenduri gol, Felda terus kemudi liga
Beraksi di gelanggang sendiri, JDT seperti memberi amaran kepada pasukan lain selepas mengecewakan Sarawak dengan jaringan 5-2 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.
Pada perlawanan kelapan Liga Super itu, skuad Harimau Selatan membuktikan stadium keramat mampu memberi 'magis' tersendiri.
Malah lima gol yang dihasilkan anak buah Mario Gomez dikutip dalam tempoh separuh masa pertama.
JDT melalui penyerang import mereka Pereyra Diaz berjaya membolosi gawang Sarawak seawal minit keempat.
Bagaimanapun, pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan 10 minit kemudian melalui jaringan K Gurusamy.
JDT kembali garang sebaik tempoh perlawanan berbaki 15 minit di separuh masa pertama.
Bermula dengan gol kedua Marcos Antonio pada minit ke-35, JDT berjaya meraih empat gol dalam tempoh 10 minit sebelum perlawanan direhatkan.
Seorang lagi pemain import iaitu Juan Lucero turut mencatatkan nama sebagai penjaring di samping jaringan keempat dan kelima masing-masing oleh Aznie Taib dan Fazly Mazlan.
Bersambung babak masa kedua JDT meneruskan penguasaan permainan, manakala pasukan pelawat juga memberi tentangan lebih seimbang.
Tuan rumah bagaimanapun kerugian satu jaringan apabila sepakan penalti oleh kapten mereka, Safiq Rahim gagal membolosi gawang Sarawak.
Felda United kemudi liga
Sebaliknya, skuad Ngap Sayot yang dibimbing K Rajagobal berjaya merapatkan jurang gol melalui jaringan gol sendiri JDT di minit ke-60 dan keputusan itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil.
Sementara itu di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Felda United juga berpesta gol sekali gus terus memimpin kedudukan Liga Super selepas menewaskan PDRM 4-0.
Keputusan lain menyaksikan Pahang berjaya menumpaskan Kelantan 4-3 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, manakala pasukan Kedah menerima tamparan hebat apabila tewas 1-4 bertemu T-Team.
Selain itu di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, skuad The Red Giant mencatatkan kemenangan tipis 1-0 melayan kunjungan Pulau Pinang.

