Kekecewaan yang semakin menebal menyaksikan ribuan penyokong Arsenal menjauhkan diri daripada perlawanan menentang West Bromwich Albion awal pagi esok.

Keadaan itu mendorong pengurusan Stadium Emirates mengambil langkah luar biasa dengan membuat jualan tiket secara terbuka.

Tindakan yang jarang-jarang dibuat itu diambil kerana minat ditunjukkan pemegang tiket bermusim begitu merosot ketika ini.

Arsenal di pertengahan Januari lalu berpeluang berada kukuh di puncak EPL namun kegagalan anak buah Arsene Wenger memenangi perlawanan mudah meranapkan harapan ramai.

Kali terakhir Arsenal memenangi kejuaraan EPL adalah pada 2004 dan sejak itu prestasi The Gunners selalu gagal.

Ahad lalu Arsenal disorak penonton di Emirates ekoran keputusan seri dengan Crystal Palace. Sebelum itu Arsenal turut seri 3-3 menentang West Ham United.

Kelab itu juga gagal melepasi suku akhir Liga Juara-juara, terkandas dalam saingan Piala FA di pusingan keeman dan diketepikan daripada Piala Liga di pusingan keempat.

Menjelang perlawanan awal pagi nanti Arsenal hanya dijarakkan dengan Manchester United hanya satu mata. Arsenal di tangga keempat dan United di tempat kelima.

Sehingga semalam kira-kira 2,500 tempat duduk untuk perlawanan menentang West Brom masih belum terjual kepada ahli kelab penyokong yang memang diberi keutamaan selama ini.

Laman web Arsenal pula - juga sehingga semalam - menunjukkan 103 daripada 115 blok tempat duduk masih belum ditempah.

Lazimnya Arsenal mengiktiraf kehadiran penonton berdasarkan jumlah tiket dijual berbanding bilangan kehadiran sebenar pada hari perlawanan.

Namun jika keadaan berterusan sehingga wisel permulaan perlawanan ditiup pengadil awal pagi esok, ia dianggap perkembangan memalukan kepada The Gunners.