Kembar tiga catat rekod di Olimpik
Jika semuanya berjalan lancar tarikh 14 Ogos ini bakal mencipta sejarah baru Sukan Olimpik apabila ada atlet kembar tiga bertanding.
Pasangan adik beradik dari Estonia - Leila, Liina dan Lily Liuk - akan membuat kemuculan bersama bagi acara maraton wanita.
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) melaporkan belum pernah ada pasangan kembar tiga tampil dalam kejohanan terbesar dunia itu khususnya dalam temasya dan acara yang sama.
Menyedari mencatat sejarah unik pasangan kembar berusia 30 tahun itu membuka akaun khas di Facebook dan Instagram menggunakan nama "TrioToRio".
"Dengan bertiga, kami mendapat banyak tenaga daripada satu sama lain," kata Leila kepada New York Times.
Kepada agensi berita DPA pula Leila berkata tiada seorang pun antara mereka mahu kalah apabila bersaing bersama.
Kami mendorong, mendorong dan mendorong," katanya.
Lebih menarik, sebenarnya ketiga-tiga mereka baru sahaja melibatkan diri secara serius dalam acara maraton sejak enam tahun lalu, iaitu ketika berusia 24 tahun.
"Sejak kecil kami melakukan aktiviti sama, selera dan hobi yang sama.
"Jadi apabila seorang dari kami mula berlari, maka yang lain juga akan turut menggemarinya," kata Liina yang berperanan mempengaruhi Leila dan Lily melibatkan diri secara serius dalam sukan itu.
Mahu 'hasut' lebih ramai wanita
Selepas dua tahun berlatih, mereka menyedari kemampuan masing-masing dan mula menyertai pertandingan di peringkat lebih tinggi.
"Kami melihat selepas setahun mencapai hasil yang baik di Estonia, kami fikir boleh mendapatkan kejayaan lebih cemerlang di luar Estonia," katanya.
Secara berasingan antara mereka Leila lebih unggul apabila mencatatkan rekod peribadi acara maraton dengan masa 2 jam 37 minit dan 11 saat, manakala Liina 2:39:42 dan Lily pula 2:40:30.
Rekod itu melayakan mereka ke Olimpik kerana syarat minimum ke temasya terbesar dunia itu ialah kurang 2 jam 45 minit untuk larian sejauh 42.195 kilometer.
Bagaimanapun, catatan masa mereka dilihat masih jauh berbanding rekod Olimpik 2:23:7 yang dirakam pelari Kenya Tiki Gelana di London pada 2012.
"Sangat hebat (jika meraih pingat), itu adalah impian kami dan kami tahu bahawa kami mesti hidup dengan menghadapi realiti. Sangat sukar untuk mengatasi pelari Kenya.
"Kami belum mencapai tahap mereka, tetapi dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi kami boleh melakukannya," kata pasangan bertiga itu kepada Reuters.
Selain itu, tiga beradik berkenaan menyasarkan untuk menarik lebih ramai wanita di Estonia melibatkan diri dalam acara lari jarak jauh.
"Kami membuktikan tak pernah terlewat untuk memulakan karier profesional ini," tambah Liina.

