Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Hafifi mahu ulangan pingat emas di Komanwel 2018

Walaupun pulang tanpa pingat Sukan Olimpik, Mohd Hafifi Mansor tidak akan berputus asa, sebaliknya berazam mahu mengulangi kejayaan pingat emas di Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

Namun Mohd Hafifi memilih untuk beralih kategori di Sukan Komanwel itu nanti daripada 69 kilogram (kg) kepada 77kg.

Menurut atlet berusia 26 tahun dari Terengganu itu, kesukaran untuk mengawal berat badannya adalah antara sebab beliau mahu beralih kategori.

"Lagipun saya sudah lama bertanding dalam kategori 69kg," katanya.

Pada penampilan pertama beliau dalam Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Mohd Hafifi berjaya mencipta rekod kebangsaan kategori 69kg dengan jumlah angkatan 316kg mengatasi rekod lama miliknya sendiri iaitu 313kg yang dicatatkan ketika beraksi di Kejohanan Dunia di Paris pada 2011.

Beliau melakukan angkatan 140kg dalam disiplin snatch dan 176kg dalam clean & jerk, untuk menduduki tempat ke-13 daripada 18 peserta.

Mohd Hafifi berkata kecederaan lutut kanan ketika beraksi menjejaskan kemampuannya mengangkat bebanan yang lebih berat, namun kejayaan memadam rekod kebangsaan adalah satu pencapaian terbaik.

"Melakukan angkatan lebih satu kilogram bukan mudah tetapi sasaran saya adalah lebih daripada itu. Walaupun sakit di lutut kanan, saya tetap teruskan," katanya.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland itu berkata beliau mendapat pengalaman berharga ketika beraksi di Rio yang boleh membantunya dalam persediaan menghadapi Sukan Komanwel serta Sukan SEA Kuala Lumpur tahun depan.

"Bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020, usia saya sudah 30 tahun, saya tidak tahu bagaimana tahap ketahanan fizikal saya ketika itu tetapi jika jurulatih yakin saya masih boleh beraksi, saya akan teruskan," katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Mohd Hafifi juga berazam mahu menamatkan kemarau pingat emas lapan tahun pada Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun hadapan.

Beliau dijadualkan akan menyertai Kejohanan Angkat Berat Komanwel di Pulau Pinang pada Oktober ini.

-Bernama

Lihat Komen
ADS