Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Separuh Tembok Besar China 'runtuh'
Diterbitkan:  Aug 19, 2016 8:56 PM
Dikemaskini: 3:30 PM

Sengit hingga ke titisan keringat terakhir - itulah gambaran perlawanan dua seteru tradisi Datuk Lee Chong Wei untuk menumbangkan Lin Dan pada saingan separuh akhir Olimpik Rio, sebentar tadi.

Aksi penuh mendebarkan sejak dari set pertama, perlawanan berpihak kepada Lin Dan - sekali gus mencemaskan penyokong Malaysia.

Di set kedua pula Lin Dan bagaikan kehilangan rentak untuk seketika apabila 12 mata menjarakkan atlet China itu dengan Chong Wei di kedudukan 11-4.

Bagaimanapun Lin Dan berjaya merapatkan jurang sebelum perlawanan berakhir 21-11.

Debaran mutlak berlaku di set ketiga.

Kedua-dua pemain hanya dibezakan satu atau dua mata dengan setiap seorang saling memungut mata.

Perlawanan set ketiga memperlihatkan Chong Wei dan Lin Dan bergilir-gilir mendahului lawan dengan perbezaan satu mata saja.

 

 

Sedikit kelegaan hadir di hujung-hujung babak apabila Chong Wei mendahului pada mata 20-18 sebelum Lin Dan menyamakan kedudukan.

Perlawanan terpaksa ditentukan secara deuce.

Selepas bertarung selama 79 minit - dengan rali paling lama satu minit dan 59 pukulan - Chong Wei berjaya mendapat dua mata berturut-turut dan memuktamadkan kemenangan dengan mata 22-20.

Pada aksi akhir jam 8.20 malam esok Chong Wei bakal berdepan cabaran antara seorang lagi pemain handalan China, Chen Long atau Axelsen Viktor dari Denmark.

Perlawanan separuh akhir kedua yang mempertemukan Chen Long dan Viktor berlangsung malam ini.

Dengan pencapaian sebentar tadi bermakna Malaysia sudah terjamin mendapat sekurang-kurangnya satu lagi pingat di temasya Olimpik kali ini. Namun pastinya seluruh rakyat mengharapkan emas digapai Chong Wei.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS