Jurulatih atlet Paralimpik Rio 2016 bakal menikmati ganjaran 30 peratus daripada jumlah yang diterima atlet yang berjaya meraih pingat.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sekiranya atlet yang memenangi pingat emas memperolehi RM1 juta, jurulatih mereka akan menerima insentif RM300,000.

Menurut beliau, pada 2016 kerajaan telah menaikkan jumlah ganjaran tersebut dan ia turut menyamai jumlah yang diterima atlet Olimpik Rio 2016.

"Saya ucapkan tahniah kepada barisan jurulatih kerana berjaya membimbing anak-anak buah mereka‎ dengan kejayaan yang dikecapi.

"Seperti mana skim insentif bagi Olimpik dan Paralimpik kita biasanya bagi imbuhan 20 peratus kepada jurulatih atas kejayaan anak buah mereka.

"Sukacita saya umumkan untuk jurulatih Olimpik dan Paralimpik 2016 kita beri insentif sebanyak 30 peratus," katanya pada sidang media selepas majlis sambutan kepulangan atlet Paralimpik di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Sepang hari ini.

‎Kontinjen Paralimpik mencipta sejarah cemerlang sukan negara dengan meraih tiga pingat emas dan satu gangsa menerusi acara olahraga.

Kejayaan itu diraih atlet pecut Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, ‎disusuli emas kedua menerusi Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru dan Abdul Latif Romly melalui acara lompat jauh.

Selain itu pingat gangsa dimenangi atlet wanita‎ Siti Noor Radiah Ismail juga dalam acara lompat jauh.