Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Tukang Jaga Rakyat Johor: Ayuh ancam tarik diri
Diterbitkan:  Dec 21, 2016 7:04 PM
Dikemaskini: 11:13 AM

Dipercayai mengulas perkembangan terbaru Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) pemilik kelab JDT mencadangkan supaya semua pasukan di negara ini mengancam menarik diri daripada liga Malaysia.

Kata Tunku Ismail Sultan Ibrahim, langkah berkenaan perlu supaya persatuan yang mengendalikan sesebuah pasukan boleh mendapatkan dana daripada kerajaan dan ahli politik.

Menulis di Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail berkata di JDT cuba mendidik penyokong dan kelab bola sepak supaya bertanggungjawab atas pengurusan kewangan.

Dana kerajaan pula katanya perlu digunakan hanya untuk kebajikan rakyat secara keseluruhan.

Menganggap perkembangan semasa sebagai "sungguh melucukan", Tunku Ismail berkata ada kelab menyalahgunakan dana mereka dan mengancam menarik diri dari sesuatu liga "hanya untuk meraih simpati" selain mendapatkan bantuan daripada kerajaan.

"Kerajaan dan ahli politik (pula) melihatnya sebagai satu peluang bagi mereka untuk mengambil kesempatan daripada isu ini untuk mencapai agenda parti politik mereka.

"Jika inilah yang berlaku, saya fikir semua pasukan harus mengancam untuk menarik diri supaya kita semua boleh mendapatkan wang daripada kerajaan dan ahli politik, jika ini adalah cara permainan mereka," katanya.

Baru-baru ini Kafa membuat pengumuman untuk menarik diri daripada saingan liga Malaysia ekoran masalah kewangan dihadapi mereka.

Cukuplah jadi macam Hollywood

Pernah menjadi antara pasukan digeruni Kelantan berdepan masalah penajaan dan hutang kepada pemain serta jurulatih.

Bagaimanapun keputusan muktamad mengenai status skuad The Red Warriors dalam liga Malaysia akan diketahui hujung bulan ini.

Ketika nasib Kelantan terumbang-ambing Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) tampil meminta Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa menyelamatkan bola sepak Kelantan.

Annuar yang juga anggota parlimen Ketereh sebelum ini adalah presiden Kafa dan pernah merundingkan penajaan bernilai RM16 juta - untuk dua musim - dengan sebuah syarikat kosmetik terkenal.

Bagaimanapun perjalanan perjanjian itu bermasalah tidak lama kemudian.

Kata Tunku Ismail beliau berasa kecewanya dengan tahap hipokrasi yang berlaku di Malaysia ini, termasuk dalam isu berkaitan sukan.

"Saya berasa kecewa dan terkilan dengan kenyataan yang diberikan oleh beberapa pemimpin dan ahli-ahli politik senior yang cuba menggunakan bola sepak sebagai alat politik.

"Tetapi saya mula menyedari ianya tidak begitu mengejutkan memandangkan tarikh pilihan raya sudah semakin hampir," katanya.

Pada masa sama Tunku Ismail mencadangkan supaya semua ahli politik terbabit berkhidmat degan jujur,

"Cukuplah dengan sikap Hollywood. Mula lakukan benda dan perkara dengan betul.

"Siapa tahu, ianya mungkin membantu anda untuk jangka masa panjang," katanya yang menamakan dirinya sebagai "Tukang Jaga Rakyat Johor".

Lihat Komen
ADS