Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
TRW tarik diri, Kelantan hilang seri - Sabri Yunus
Diterbitkan:  Dec 19, 2016 4:19 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Negeri Kelantan akan 'hilang seri' sekiranya skuad bola sepak The Red Warriors (TRW) menarik diri daripada penyertaan liga Malaysia 2017, kata pengarah dan pelakon, Sabri Yunus.

Sebagai anak jati dan penyokong Kelantan katanya, salah satu kecintaan rakyat pada negeri itu akan hilang sekiranya semangat bola sepak 'mati'.

"Sokongan pada bola satu pernyataan ikhlas rakyat pada bumi kecintaan. Tiada berbeza kedudukan dan pemikiran, satu dan bulat.

"Sukan ini harus dilihat bukan dengan mata politik. Sebab mata politik sentiasa juling pandangannya," katanya dalam catatan peribadi di Facebook.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memutuskan untuk menarik diri daripada saingan Liga Malaysia 2017 susulan ketidakmampuan menyediakan dana mencukupi untuk pengurusan skuad Kelantan.

Setiausaha Kafa, Datuk Ismail Md Noor dilaporkan berkata, mesyuarat khas exco Kafa yang diadakan kelmarin membuat keputusan Kelantan tidak lagi mampu dan terpaksa menarik diri pada musim depan.

Namun, katanya, keputusan akhir akan dibuat melalui kongres luar biasa yang akan diadakan pada 29 Disember nanti.

Sementara itu pelakon yang sinonim dengan sitcom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu berkata, bola sepak Kelantan bukan milik Kafa, syarikat TRW, kerajaan negeri dan parti politik tetapi milik seluruh rakyat.

"Walaupun ada yang tidak meminati namun kasih tetap dihati.

"Andainya tahun 2017 ini pasukan Kelantan tarik diri, seluruh negeri hilang seri," tegasnya.

Lihat Komen
ADS