Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengambil sikap untuk tidak peduli terhadap sebarang andaian daripada mana-mana pihak berhubung unsur campur tangan politik yang dikaitkan dengan mereka.

Pemangku presidennya, Datuk Seri Afandi Hamzah, berkata susulan situasi semasa dihadapi mereka, Kafa tidak dapat lari daripada sebarang andaian pihak lain.

"Sudah tentu kita tidak dapat lari dari pelbagai andaian selepas berlaku isu sedemikian.

"Apa pun realitinya, kita kena akui ‎bahawa setiap pasukan yang mahu menyertai liga Malaysia perlukan kewangan mencukupi.

"Dari segi andaian, itu terserah kepada tafsiran masing-masing, tetapi realitinya itulah yang sebenarnya (berlaku)," katanya kepada media selepas majlis Undian Piala FA di Shah Alam, hari ini.

Skuad The Red Warriors sebelum ini memutuskan untuk menarik diri daripada saingan liga Malaysia musim depan selepas dilanda krisis kewangan kritikal.

‎Bagaimanapun Kelantan dilihat bernasib baik selepas masalah mereka mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib tampil meminta bekas presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa supaya membantu persatuan itu bagi meneruskan saingan dalam arena bola sepak negara.

Namun, susulan 'bantuan' Najib itu ‎ada pihak yang tampil mengkritik dan menganggap masalah Kafa sebagai sandiwara.

Antaranya Ketua Pemuda PAS Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz‎ yang menganggap kemelut yang melanda Kafa itu tidak lebih daripada sandiwara.

Selain itu, pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut mengkritik tindakan perdana menteri yang dilihat mengambil peluang daripada isu melandan Kafa sebagai agenda parti politik.‎

Sementara itu, Afandi berkata keputusan sama ada Kelantan menyertai liga musim 2017 hanya akan diketahui selepas Kongres Luar Biasa Kafa pada 29 Disember nanti.

Mengulas mengenai usaha untuk mendapatkan dana, Afandi berkata, kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengadakan perbincangan dengan Kafa selain ‎mencari pihak yang mahu menjadi penaja.

Lihat Komen
ADS