Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Dortmund nafi Aubameyang ditawar RM711j
Diterbitkan:  Jan 6, 2017 5:20 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Lupakan isu tawaran rekod baru dunia untuk perpindahan Pierre-Emerick Aubameyang, kata kelab Borussia Dortmund.

Menurut kelab Jerman itu, mereka tidak tahu menahu atau dihubungi oleh mana-mana pihak yang ingin mendapatkan khidmat pemain mereka.

"Saya tidak mahu bercakap mengenai tawaran yang belum pasti," kata Ketua Pegawai Eksekutif Dortmund, Joachim Watzke.

Sebelum ini media melaporkan sebuah kelab China membuat tawaran 150 juta euro (hampir RM711 juta) untuk mengumpan Aubameyang bermain di liga negara berkenaan.

Jika ia benar dan menjadi kenyataan, tawaran daripada kelab Shanghai SIPG itu akan mencatat rekod baru perpindahan pemain antarabangsa.

Dengan jumlah itu, kelab gergasi dari negara Tembok Besar itu akan meletakkan Aubameyang sebagai pemain termahal dunia, sekaligus memadamkan rekod Paul Pogba.

Pada awal musim ini, Pogba menandatangani kontrak dengan Manchester United dari Juventus dengan nilai 105 juta euro (RM497 juta).

Selain bersedia menjadikan Aubameyang sebagai pemain termahal, Shanghai dilaporkan berani menggaji penyerang untuk pasukan kebangsaan Gabon itu dengan bayaran 41 juta euro (RM194 juta) setahun.

Bagaimanapun seperti dilaporkan portal calciomercato.com, Dortmund tidak terpengaruh dan menafikan menerima tawaran fantastik tersebut.

Terdahulu, tawaran kepada pemain 27 tahun itu muncul selepas kelab Shanghai Shenhua membawa bekas pemain Manchester City, Carlos Tevez, Liga Super China.

Sementara itu, Pengarah Dortmund, Sascha Fligge, menegaskan dia mempunyai maklumat sahih mengenai spekulasi berkait dengan masa depan Aubameyang.

"Kami di sini tidak mendapatkan maklumat isu itu. Kami tidak tahu apa-apa. Sebab itu kami tidak risau dengan khabar angin tersebut," kata Fligge.

Aubameyang sendiri masih terikat kontrak dengan Dortmund hingga 30 Jun 2020.

Sebelum ini juga, dia pernah dilaporkan bercita-cita menjadi pemain kelab kegemarannya iaitu Real Madrid suatu saat nanti.

Lihat Komen
ADS