Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Liu Ying, Peng Soon tarik diri kerana kecederaan

Beregu campuran yang memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Rio, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, tidak akan berentap pada Kejohanan Victor Far East Malaysia Masters di Stadium Tertutup Sibu, yang bermula esok.

Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Lawrence Chew berkata, mereka tidak dapat beraksi kerana Liu Ying mengalami kecederaan pada kakinya.

"Liu Ying cedera di kaki. Ini perkara biasa apabila pemain menarik diri daripada kejohanan berikutan kecederaan atau sebab-sebab tertentu," katanya semasa meninjau persiapan akhir kejohanan itu di stadium tersebut hari ini.

Beregu pilihan pertama kejohanan itu dijadualkan bertemu pasangan Indonesia Yehezkiel Mainaky-Lyanny Ale Mainaky pada pusingan pertama perlawanan kelayakan itu esok.

Chew berkata beberapa pemain lain, yang sudah mendaftar bagi kejohanan itu, turut menarik diri tetapi nama mereka akan hanya diketahui selepas menyuarat pengurus-pengurus pasukan petang ini.

Sehingga kini, kira-kira 90 peratus pemain sudah tiba di Sibu dan berlatih di gelanggang kejohanan di Stadium Tertutup Sibu hari ini.

Sementara itu, kehadiran pemain perseorangan wanita India, Saina Nehwal bersama dua rakan lelakinya di sebuah kedai makan di Jalan Tuanku Osman di sini tidak disedari pengunjung kedai berkenaan.

Seorang pengunjung Judan Bungap berkata, dia tidak mengenali pemain itu kerana tidak pernah melihatnya sebelum ini.

"Betullah, (dia) Saina Nehwal," katanya selepas melakukan pencarian di Google.

Kejohanan itu, yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak US$120,000 bermula dengan pusingan kelayakan pada 8.30 pagi esok.

Tiada bayaran dikenakan untuk masuk menyaksikan kejohanan itu di Stadium Tertutup Sibu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS