Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Maklumlah Kota Bharu kan, kan? kata Annuar
Diterbitkan:  Feb 1, 2017 4:19 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Isu penundaan tarikh perlawanan ketiga antara pasukan Kelantan dan Johor Darul Ta'zim (JDT) mendapat perhatian penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa.

Dalam tulisan di Facebooknya, Annuar mempersoalkan tindakan yang diambil di saat akhir oleh Football Malaysia‎ Limited Liability Partnership (FMLLP).

"Benarkah perlawanan TRW (The Red Warriors) dan JDT ditunda saat akhir? Jika benar saya minta penjelasan FMLLP di bawah peraturan mana ia dibuat," katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan perlawanan yang dijadualkan Sabtu ini di Kota Bharu sah ditun‎da ke tarikh lain.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, pihaknya telah meluluskan permohonan yang dibuat JDT.

Melalui surat kelulusan permohonan tersebut katanya, perlawanan dijadualkan pada Sabtu ini akan ditunda ke satu tarikh yang akan dimaklumkan nanti.

Sebelum ini memang diketahui ramai Annuar dan pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim saling berbalas kenyataan - walaupun secara tidak langsung atau memetik sebarang nama.

Ketika skuad JDT tumpas di tangan Kedah bagi merebut Piala Sumbangsih, Annuar memuat naik status sinis di media sosial dengan menggunakan emoticon ketawa seolah-olah menyindir kelab milik Tunku Ismail itu.

Dan semalam, beberapa jam selepas Annuar digantung jawatannya dalam Majlis Amanah Rakyat, Tengku Mahkota Johor itu memuat naik klip video pendeknya yang mencetuskan tanda tanya.

Annuar yang juga bekas presiden Kafa berkata, di bawah peraturan sedia ada penundaan (perlawanan) tertakluk kepada peraturan bertulis liga Malaysia.

Antaranya, penundaan memerlukan permohonan 14 hari lebih awal dan jika peraturan 14c diguna pakai, notis tujuh hari diperlukan.

Berkenaan penundaan itu dikatakan kerana JDT menghadapi saingan kelayakan (play-off) Liga Juara-juara Asia (ACL) di Jepun, Annuar berkata jadual sedia ada sudah mengambil kira perkara itu.

Tambah beliau, JDT hanya perlu berada di Osaka, Jepun pada 5 Februari dan bukan 4 Februari.

Katanya, meskipun faktor untuk memberi masa rehat kepada JDT dapat difahami, namun setiap pasukan mempunyai 30 pemain yang boleh digilir.

"Isunya kenapa jadual asal tidak mengambil kira faktor ini dan pertukaran saat akhir merugikan penyokong tuan rumah yang telah mengambil cuti, membeli tiket penerbangan dan sebagainya.

"Justeru isu elok FMLLP membuat penjelasan supaya mereka tidak dilihat tunduk kepada pihak tertentu tanpa mengambil kira kesan kepada pasukan tuan rumah.

"Apapun kita setuju sesetengah pasukan perlu diberi rehat yang banyak sebelum ke Kota Bharu. Maklumlah Kota Bharu kan? kan?" katanya sinis.

Lihat Komen
ADS