Beri peluang sewajarnya - itu harapan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) yang baru dilantik, Zairil Khir Johari.
Berdepan dengan kritikan dan desakan peminat skuad bola sepak Pulau Mutiara itu, Zairil menjelaskan ada kemungkinan gerakan mengkritik FAP itu dibuat secara halus dan membawa maksud lebih luas.
"Ya saya minta peluang. Saya (juga) curiga sebab apabila baru nak mula, dah kena kecam. Nampak macam ada udang di sebalik mi," katanya kepada Malaysiakini Sukan hari ini.
Pulau Pinang kini berada di tempat paling bawah dalam Liga Super selepas gagal mengutip sebarang mata - atau menjaringkan gol - daripada tiga perlawanan musim ini.
Malam ini sekumpulan penyokong Pulau Pinang menggerakkan kempen mengajak penonton berpakaian baju hitam ketika menonton perlawanan skuad Harimau Kumbang menentang Sarawak.
Perlawanan itu dijadual berlangsung jam 9 malam di Stadium Batu Kawan, Seberang Prai Selatan.
Gerakan dinamakan "misi 1102" itu juga mendesak supaya kedudukan Zairil sebagai presiden FAP digantikan.
Zairil yang juga anggota parlimen Bukit Bendera dilantik ke jawatan berkenaan selepas penyandangnya, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff meletak jawatan pada 19 Januari lalu.
Baik untuk masa depan
Sesetengah pihak juga dilaporkan kurang senang dengan sikap ketua jurulatih, Ashley Westwood, yang tidak berlapik ketika menegur pemain.
Ia mungkin tidak menghairankan kerana pada perlawanan Pulau Pinang menentang Perak 27 Januari lalu, Westwood mengeluarkan kecaman kepada pengadil.
Ekoran tindakan itu Westwood dikenakan tindakan gantung sebanyak empat perlawanan oleh FAM.
Sebelum ini sebahagian penyokong Pulau Pinang sudah bersuara selepas FAP mengumumkan jersi rasmi pasukan itu untuk musim ini.
Di mata sesetengah pihak, jersi itu tidak kelihatan menarik namun Zairil menegaskan, ia tetap memiliki ciri unik tersendiri.
Zairil memberitahu, mereka sebenarnya mahu mengetengahkan ciri-ciri vintage pada jersi baru skuad berkenaan
Mengulas lanjut cabaran dihadapi FAP hari ini, Zairil berkata, penyokong bola sepak Pulau Pinang seharusnya lebih bersabar dan memberi peluang kepada skuad Harimau Kumbang menunjukkan kemampuan sebenar dalam liga Malaysia.
Dengan cara itu, katanya, bakat pemain muda yang diasuh ketika ini boleh dikembangkan sehingga menjadi bintang suatu hari nanti.
Menegaskan perlunya pembangunan secara holistik, Zairil berkata, FAP mengakui pemain sedia ada bukan bertaraf bintang.
"Tetapi mereka adalah bakal bintang.
"Betul, mereka kurang pengalaman dan itu menjadi kelemahan, tetapi kalau mereka tak dibenarkan bermain macam mana nak ada pengalaman?
"Tindakan FAP memang memang berisiko, tetapi ia baik untuk masa depan," katanya.
