Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Westwood digantung 4 perlawanan kerana kata kesat
Diterbitkan:  Feb 9, 2017 10:26 PM
Dikemaskini: 2:27 PM

Ketua jurulatih Pulau Pinang, Ashley Westwood digantung empat perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil.

Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat semalam.

Westwood melakukan kesalahan itu semasa perlawanan Liga Super 2017 antara Pulau Pinang dan Perak di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada 27 Januari lepas.

FAM dalam artikel yang disiarkan pada laman sesawangnya memaklumkan, jurulatih itu turut didenda RM2,000 serta diberi amaran keras dan berdepan hukuman lebih berat jika mengulangi kesalahan yang sama.

"Ashley Westwood didapati bersalah kerana melanggar Artikel 51.1(a) Kod Tatatertib FAM berkenaan salah laku terhadap pegawai perlawanan dan dibaca bersama Artikel 59(a) Kod Tatatertib FAM berkenaan kelakuan menyinggung dan fair play.

"...dan Artikel 50.1(c) Kod Tatatertib FAM berkenaan salah laku terhadap pihak lawan atau individu selain daripada pegawai perlawanan," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Westwood sudah menjalani penggantungan automatik ketika aksi Liga Super antara Pulau Pinang dan T-Team FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 4 Februari lepas.

Selain penggantungan automatik itu, Westwood turut dikenakan penggantungan tiga perlawanan melibatkan aksi Liga Super antara Pulau Pinang menentang Sarawak pada 11 Februari, Pulau Pinang berdepan Pahang (18 Februari) dan Pulau Pinang bertemu Kedah (25 Februari).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS