Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
'Semut hitam' tunggu Harimau Kumbang esok?
Diterbitkan:  Feb 10, 2017 7:27 PM
Dikemaskini: 11:38 AM

Masa semakin suntuk dan sabar semakin hilang - itu mungkin bayangan yang benar untuk menggambarkan keadaan Pulau Pinang dalam saingan Liga Super ketika ini.

Mengharungi tiga perlawanan tanpa sebarang mata meletakkan skuad Harimau Kumbang berada di dasar terbawah liga.

Daripada tiga perlawanan Liga Super yang lepas, skuad bimbingan Ashley Westwood itu belum pernah mencatatkan gol. Pada masa sama, gawang mereka sudah empat kali.

Justeru, agak dapat difahami apabila ada sekumpulan penyokong tegas Harimau Kumbang kian giat menjalankan kempen menyatakan protes mereka terhadap Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).

Sejak beberapa hari lalu misalnya, sudah tersebar 'pelawaan' kepada penyokong Pulau Pinang supaya mereka menunjukkan kemarahan itu dengan berpakaian hitam ketika hadir ke stadium malam esok.

"Sempena 11/2/2017 semua penyokong diminta berpakaian serba HITAM. X (tak) kisah lah corak apa, janji serba hitam. Tiada JERSI atau WARNA lain," kata mesej yang beredar melalui aplikasi WhatsApp itu.

Menurut mesej berkenaan, warna hitam dipilih untuk melambangkan "hari kegelapan" FAP.

"Semua penyokong diminta beri kerjasama," kata mesej berkenaan.

Pulau Pinang akan mengharungi perlawanan keempat pada jam 9 malam esok.

Beraksi di gelanggang sendiri, skuad bimbingan Westwood itu akan melayan taktikal skuad Sarawak di Stadium Batu Kawan.

Menurut sumber, ada beberapa isu berbangkit yang mendorong peminat Pulau Pinang memprotes FAP.

Satu daripadanya ialah cara persatuan itu mengelola badan berkenaan, selain peletakan jawatan Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff sebagai presiden FAP pada 19 Januari lalu.

Hari kegelapan FAP

Walaupun kekosongan itu kemudian diisi tidak lama kemudian oleh Zairil Khir Johari sesetengah pihak berpendapat langkah itu kurang wajar diambilnya. Tambahan pula Zairil ketika ini adalah pengurus pasukan.

Terkenal sebagai ahli perniagaan, Nazir Ariff dikatakan mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri dan beliau berjaya menguruskan FAP dengan baik sebelum ini.

Bagaimanapun, peletakan jawatan itu dikatakan tidak disebabkan oleh hubungan tidak baik Nazir Ariff dengan Zairil.

Selain itu sumber juga memberitahu, sesetengah pemain kurang senang dengan cara Westwood melayan mereka.

Membawa reputasi baik sebagai ketua jurulatih, Westwood dianggap kurang peka dengan budaya diplomasi antara pegawai dengan pemain.

Pada keadaan tertentu, kata sumber, bekas ketua jurulatih Bengaluru FC itu tidak teragak-agak mengherdik atau memarahi pemain di khalayak ramai.

Penyerang Pulau Pinang, Faiz Subri, juga setakat ini belum menyinar walaupun membawa reputasi sebagai pemenang Anugerah Puskas 2016.

Justeru, ia mungkin mendorong sebahagian peminat tegar mengajak orang ramai turun ke Stadium Batu Kawan dengan berpakaian hitam malam esok.

Di akhir mesej yang disebar melalui WhatsApp itu, mereka menyertakan hashtag #SingkirkanYBZairil, #Misi1102 dan #HariKegelapanFAP.

Ajakan itu turut dimuat naik pada akaun Facebook Penang Brotherhood petang tadi.

Lihat Komen
ADS