Chong Wei belum kenal istilah mengalah
Titik noktah buat karier Datuk Lee Chong Wei nampaknya belum tiba ketika usia pemain badminton nombor satu dunia itu mencecah 34 tahun.
Bercakap kepada media pada sidang media selepas berakhirnya kejohanan Terbuka Malaysia sebentar tadi, ramai yang tertanya-tanya tentang masa depan Chong Wei.
Namun yang pasti, buat masa ini detiknya belum tiba.
"Sebelum ini, ada yang tanya tentang persaraan. Tahun demi tahun, saya tetap teruskan dan masih bersemangat.
"Umur kami (Chong Wei dan Lin Dan) kalau dicampur bersama sudah lebih 70 tahun, tetapi saya harap kami dapat teruskan karier dan mampu bermain lebih lama. Belum masanya untuk mengumumkan persaraan, keep it on (teruskan lagi)!" kata Chong Wei dengan berseloroh.
Hari ini Chong Wei menamatkan perlawanan ke-38 menentang seteru lamanya, Lin Dan, dan kalah kepadanya, tidak ada perkataan menggantung raket buatnya.
Chong Wei tewas kepada Lin Dan dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki kejohanan Terbuka Malaysia dengan 19-21 dan 14-21.
"Untuk saya, hari ini memang bukan yang terbaik. Mungkin ada pertembungan yang baik semasa perlawanan set pertama tetapi saya mungkin hilang keyakinan dalam set kedua.
"Dalam mana-mana perlawanan ada yang menang dan juga yang kalah. Saya berpuas hati dengan prestasi kali ini untuk teruskan persembahan yang baik dalam final ini," kata Chong Wei.
"Saya akan cuba lagi, saya rasa memang sudah akan masuk ke final. Tapi kurang satu langkah lagi. Saya tahu banyak yang kecewa, kalah ketika main di tempat sendiri tapi saya kena terima juga dan terus bersemangat untuk kejohanan seterusnya," katanya.
Chong Wei juga tidak menolak tanggapan bahawa prestasi Lin Dan cukup baik pada kejohanan kali ini tetapi beliau berasakan ramai pemain muda mula menampakkan kemampuan yang baik.
"Bukan dia seorang saja. Saya lihat ramai pemain muda sudah mengejar kami.
"Kita jangan pandang rendah pemain-pemain muda. Dalam empat bulan lagi, saya dan Lin Dan akan kekalkan prestasi dan cuba yang terbaiklah. Saya rasa kami merupakan pemain yang paling tua," kata beliau sambil tersenyum.

