Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Felda United nekad kutip tiga mata
Diterbitkan:  Apr 18, 2017 4:36 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Ketiadaan lima pemain utama termasuk ketua pasukan, Shukor Adan bukan alasan untuk Felda United tidak meraih tiga mata apabila menentang Tampines Rovers di halaman sendiri dalam saingan Kumpulan G Piala AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia), esok.

Pengendali Felda United, B Sathianathan berkata kemenangan yang diidamkan itu perlu dijelmakan bagi memastikan skuad The Fighters mampu mengorak langkah lebih jauh dalam kejohanan tersebut.

"Apa yang kita mahukan ialah mencatat kemenangan bagi mendapat tiga mata. Ini kerana kita sekarang berada di tangga kedua dan berpeluang memperbaiki kedudukan dan mara lebih jauh," katanya pada sidang media di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka di Maran hari ini.

Menurutnya lima pemain utama yang cedera berkemungkinan tidak dapat diturunkan tetapi menjelaskan skuad itu mempunyai barisan simpanan yang berkualiti.

Selain Shukor, empat pemain lain adalah Syahid Zaidon, Mootaz Jounaidi, Stewart Wark dan Wan Amirul Afiq.

Pada masa sama, Sathianathan mengharapkan sokongan penyokong terutama warga Felda kerana ia mampu meningkatkan moral dan semangat pemain untuk beraksi lebih cemerlang.

Sementara itu, pengendali Tampines Rovers, Jurgen Raab berkata pasukannya tiada pilihan selain memastikan kemenangan kerana kekalahan kepada tuan rumah akan mengakibatkan mereka tersingkir daripada saingan Piala AFC musim ini.

"Kami hanya memiliki tiga mata dan menghuni tangga tercorot. Ini ialah aksi penentuan dan kami mahukan kemenangan.

"Kejayaan menewaskan Felda United di tempat mereka pastinya memberi kelegaan kepada kami," katanya.

Felda United kini berada di tangga kedua dengan lima mata selepas mengharungi empat perlawanan manakala Tampines Rovers menghuni kedudukan terakhir dengan tiga mata.

Perlawanan malam esok merupakan kali pertama dilangsungkan di STAR selepas rayuan Felda United untuk beraksi di gelanggang sendiri diterima AFC.

-Bernama

Lihat Komen
ADS