SEABA Sungguhpun memberi prestasi baik, nasib tidak menyebelahi pasukan negara ketika perlawanan pertama menentang Thailand pada Kejohanan Bola Keranjang Asia Tenggara (SEABA) 2017 di Manila, Filipina hari ini.
Malaysia tewas dalam perlawanan itu dengan perbezaan 7 mata kepada Thailand, 67-74 meskipun cemerlang pada suku pertama dan kedua perlawanan.
Bagaikan terkena badi, kesilapan yang kerap dilakukan pada suku ketiga perlawanan memusnahkan harapan pasukan negara.
Malaysia cuba sedaya upaya untuk bertahan dalam separuh masa pertama, tetapi dibelenggu masalah foul yang menyaksikan pemain tengah Chan Kek Thai dan Heng Yee Thong terpaksa keluar daripada gelanggang dengan lima foul.
Walaupun pasukan Malaysia bermula lambat pada suku pertama dengan masalah foul dan kesilapan awal, gandingan Choo Wei Hong, Heng Yee Tong dan ketua pasukan Teo Kok Hou masih 'menguasai' gelanggang dengan jaringan tiga mata.
Corak permainan Malaysia yang tampak lebih konsisten memudahkan mereka mendahului dalam suku pertama sebanyak 10 mata, dengan mendahului 25-15.
Malaysia meneruskan penguasaan walaupun beberapa kali dicabar oleh pemain Thailand seperti Chitchai Ananti yang mendapat 14 mata pada akhir separuh masa pertama.
Namun, pemain Malaysia kerap melakukan kesilapan apabila Teo Kok Hou melakukan empat kali foul, manakala Vincent Choong dan Ryan Liaw pula melakukan tiga foul.
Malaysia masih di hadapan Thailand pada minit akhir suku kedua dan percubaan Mak Long Seng untuk menyudahi lay-up tidak kesampaian, dengan pasukan negara mendahului 41-36.
Tidak mahu mengambil mudah apabila Malaysia mendahului pada separuh masa pertama, Thailand berjaya mengikat mata 47-47, hasil jaringan penalti oleh Chitchai Ananti pada 2:18 minit terakhir suku ketiga.
Ananti juga merupakan penjaring utama Thailand dan mendapat 23 mata dari suku pertama hingga suku ketiga. Beliau menamatkan perlawanan dengan 24 mata.
Di pihak Malaysia pula, Choo Wei Hong mendahului dengan 12 mata, manakala Ryan Liaw dan Mak Long Seng, masing-masing menjaringkan 10 mata dan 7 mata.
Malaysia akan bertemu pasukan Indonesia esok pada jam 5 petang.
Ketua jurulatih pasukan Malaysia, Goh Cheng Huat menyifatkan prestasi anak buah beliau boleh dipertingkatkan lagi dan berpuas hati pada awal perlawanan.
"Kita perlu yakin dengan pemain kita, betul tak? Kita harapkan yang terbaik dan kadang-kala ada sesetengah situasi susah seperti kecederaaan sukar diduga.
"Lima pemain utama saya untuk esok dengan Indonesia akan berbeza daripada hari ini. Mereka perlu bersedia bila-bila masa," Goh berkata.
Dua pemain utama Malaysia, Alvin Ang dan Choo Wei Hong terpaksa direhatkan hari ini kerana kecederaan pada buku lalinya, manakala Wei Hong pula mengalami kecederaan pada bahagian bawah kakinya.
Beliau juga gembira dengan pemain veterannya seperti Chan Kek Thai, Chin Zhi Shin dan Alvin Ang memberikan yang terbaik dari segi pertahanan dan serangan.
"Saya tak kisah dengan masalah foul sebenarnya. Para pemain perlu lebih agresif dan membina keyakinan dalam gelanggang," beliau menambah.
Berikut adalah keputusan penuh untuk perlawanan hari ini:
1. Indonesia vs Singapura (71-50)
2. Malaysia vs Thailand (67-74)
3. Filipina vs Myanmar (147-40)
