Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Weah tubuh skuad khas buru pesara khianat
Diterbitkan:  Mar 9, 2018 6:26 PM
Dikemaskini: 11:10 AM

Ketegasan ditunjukkan Presiden Liberia, George Weah, kini teruji apabila arahannya hampir tidak diendahkan langsung oleh pegawai kerajaan yang berkhidmat untuk pemimpin sebelumnya.

Dua minggu lalu bekas pemain bola sepak terbaik dunia itu memberi tempoh kepada bekas pegawai terbabit supaya mengembalikan kenderaan rasmi yang ada pada mereka.

Menurut perintah itu kenderaan berkenaan mesti dikembalikan kepada Agensi Perkhidmatan Awam (GSA) selewat-lewatnya 9 Feb.

Namun nampaknya ia tidak dipatuhi, malah beberapa gambar yang ditularkan di media sosial menunjukkan kenderaan terbabit diparkir dengan selamba di rumah bekas pegawai kerajaan berkenaan.

Sesetengah mereka tidak mengendahkan arahan pemulangan itu kerana mendakwa ia dibeli secara sah atau diperoleh melalui lelongan GSA yang dibenarkan presiden ke-24 Liberia, Ellen Johnson Sirleaf, 71, sebelum dia digantikan oleh Weah, 51.

"Kerajaan Liberia berdepan masalah dan ini cuma masalah kecil.

"Orang yang bekerja dengan kerajaan terdahulu sedang menyembunyikan atau melupuskan kenderaan yang pernah mereka gunakan," kata Weah dipetik FrontPageAfrica.

Mengapa tak boleh jujur

Weah ialah pemain antarabangsa Liberia yang pernah beraksi dengan pelbagai kelab elit di Eropah, termasuk AC Milan, Chelsea, Manchester City dan Paris St-Germain.

Dia menerima anugerah Ballon d'Or pada 1995.

Weah kemudian menyertai politik dan memenangi pilihan raya pada 2017. Dia mengangkat sumpah sebagai presiden pada 22 Jan lalu.

Langkah mengambil semula kenderaan digunakan pegawai kerajaan yang berkhidmat untuk Ellen dibuat sebagai langkah Weah menjimatkan perbelanjaan negara.

Dia sendiri mengarahkan gajinya dipotong sebahagian dan dikembalikan kepada perbendaharaan untuk membantu golongan miskin di Liberia.

Bagaimanapun dengan amalan rasuah yang menebal sebelum ini Weah berdepan cabaran getir untuk membawa Liberia ke fasa baru.

Sumber memberitahu Ellen seperti mahu memberi habuan kepada pegawainya dengan membenarkan kereta negara dijual pada harga murah kepada mereka.


Baca Wenger cadangkan kisah hidup Weah difilemkan


Untuk menanganinya Weah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat, memburu dan merampas kenderaan yang dirasakan diperoleh secara salah.

Bagi mengelakkan disita, bekas kakitangan kerajaan Ellen mesti menunjukkan bukti bahawa mereka memperoleh kenderaan terbabit secara sah.

"Mereka mencuri kereta negara dan meletakkan kerajaan terbeban untuk membeli kereta baru.

"Mengapa kalian semua tidak boleh menjadi jujur dengan melepaskan kenderaan masing-masing?" katanya.

Menurut Weah jika pegawai terbabit gagal memulangkan kereta masing-masing atau tidak menunjukkan bukti layak menggunakan kenderaan berkenaan, nama mereka akan diserah kepada Kementerian Undang-undang Liberia.

Pada masa sama anggota pasukan khas itu mungkin tidak semudah yang diharapkan.

Pengarah GSA, Mary Broh, sendiri didakwa mengabaikan larangan kerajaan menjual kereta negara pada harga sangat murah.

Lihat Komen
ADS