Malaysiakini

M'sia ke suku akhir badminton berpasukan campuran Asia

Sukan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysia melangkah ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2019 walaupun tumpas 2-3 kepada juara bertahan, China dalam aksi terakhir Kumpulan D di Hong Kong, semalam.

Pasukan negara menamatkan cabaran Kumpulan D selaku naib juara di belakang China yang memenangi kesemua dua perlawanan peringkat kumpulan.

Pada aksi di Stadium Queen Elizabeth hari ini, China mendahului 1-0 selepas Han Chengkai-Zhou Haodong menewaskan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani; 21-15 dan 21-19 dalam acara beregu lelaki, demikian menurut laman sesawang Badminton Asia; www.badmintonasia.org.

Skuad negara Tembok Besar itu menggandakan mata apabila pemain perseorangan wanita mereka, Han Yue mengalahkan Ying Ying; 21-17 dan 21-15 dalam perlawanan kedua.

Pemain muda negara, Cheam June Wei merapatkan kedudukan selepas mengatasi Lu Guangzu; 21-12 dan 21-17, namun China meraih mata kemenangan menerusi pasangan beregu wanita, Du Yue-Li Yinhui yang menumpaskan Lim Chiew Sien-Pearly Tan Koong Le; 21-11 dan 21-18.

Gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei, dalam pada itu menewaskan pasangan Chen Xiaofei-Ou Xuanyi; 21-13 dan 21-15, namun keputusan itu tidak menjejaskan kedudukan China selaku juara Kumpulan D.

Untuk rekod, Malaysia mengalahkan Macau 5-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D, semalam.

Malaysia akan berdepan juara Kumpulan A, Jepun, manakala China dijadual menentang naib juara Kumpulan C, Thailand dalam aksi suku akhir.

Kedua-dua perlawanan tersebut akan berlangsung esok.

- Bernama